Terkejut dua lelaki bersenjata masuk rumah

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian serta kelongsong peluru (kanan) yang ditemui di dalam kediaman mangsa.
A
A

ALOR GAJAH - Seorang warga emas yang juga kontraktor, berdepan detik cemas apabila didatangi dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A Asmadi Abd Aziz berkata, dalam kejadian jam 7.25 malam itu, mangsa yang berusia 69 tahun, terkejut apabila dua lelaki tidak dikenali melulu masuk ke rumah berkenaan sebelum dipercayai melepaskan tiga das tembakan bagi menakutkan mangsa.

Menurutnya, penjenayah tersebut kemudian menyamun wang tunai berjumlah RM310, kad pengenalan ibu mangsa, sebuah telefon bimbit jenis Samsung Note 2 dan kunci kereta Proton Saga yang jumlahnya belum dapat dipastikan lagi.

"Suspek melulu masuk ke dalam rumah dan memaksa mangsa menyerahkan wang tunai serta barang berharga.

"Dalam masa yang sama, mereka juga telah melepaskan dua das tembakan dan mengenai siling rumah tersebut menyebabkan mangsa menjerit ketakutan," katanya.

Jelas beliau, kedua-dua lelaki terbabit yang terkejut dengan tindakan mangsa kemudian bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah sebuah kenderaan jenis perodua Myvi yang nombor pendaftaran gagal dikesan menghala ke Pasir Panjang, Port Dickson.

Katanya, hasil siasatan, jabatan forensik menemui tiga kelongsong peluru termasuk satu ditemui di laman rumah berhampiran sebuah kenderaan pacuan empat roda manakala dua kelongsong di ruang tamu.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan mangsa turut memaklumkan tidak mempunyai sebarang masalah atau berkaitan hutang dengan sesiapa," katanya.