Cuci peti ais seminggu sekali

A
A

KECANTIKAN dapur bukan sahaja dinilai dari aspek penggunaan kabinet berkualiti ataupun dekorasi mewah semata-mata, tetapi ia turut melibatkan kebersihan di segenap ruang tersebut.

Bagaimanapun, menyentuh mengenai kebersihan, sebahagian besar individu lebih cenderung melakukan proses pembersihan secara ‘luaran’ seperti mop lantai dan mengelap kabinet sehingga mengabaikan yang tersembunyi.

Satu daripada ialah kebersihan di dalam peti ais. Mungkin kita beranggapan bahawa kelengkapan dapur tersebut tidak perlu dititikberatkan kerana ia terlindung di sebalik pintu.

Namun, tahukah anda ruang peti yang kotor dan tercemar dek sisi makanan ataupun sayuran layu, lembik dan busuk boleh menjejaskan kualiti udara di dalamnya.

Justeru, pada edisi kali ini, Dapur berkongsi 10 tip mudah dan murah bagi memastikan kebersihan dan susun atur di dalam peti ais nampak kemas. Selamat mencuba!

1. Cuci seminggu sekali

Mencuci peti ais wajar dilakukan sekali seminggu bagi menghilangkan kesan kotoran dan bau yang kurang menyenangkan.

Sebelum proses mencuci, kosongkan ruang di dalam peti ais mengikut rak. Kemudian kenal pasti baki makanan, bahan basah kering ataupun sayur-sayuran yang rosak dan perlu dibuang.

Selepas itu, lap bahagian dalam peti sejuk dengan menggunakan kain bersih dan semburkan air yang dicampur cuka.

Cuka ialah bahan cuci yang selamat digunakan dan pantas menanggalkan kotoran.

2. Aroma daun pandan

Selepas proses mencuci bagi mendapatkan bau harum ambil tiga helai daun pandan, ikat dan letak di dalam peti ais.

3. Susun ikut rak

Bagi memudahkan proses mengambil barang di dalam peti ais, susun bahan-bahan mengikut rak dan bahagian yang betul. Misalnya, letakkan telur di bahagian paling atas tepi pintu ais memandangkan ia mudah pecah jika terhempap dengan barangan lain.

Sementara itu, pes cili, halia ataupun bawang pula disusun dengan kemas di rak pertama bagi memudahkan anda mengambilnya ketika memasak.

4. Produk cecair

Produk dalam bentuk pek atau tin yang telah dibuka elok dipindahkan ke dalam bekas atau botol kaca. Jangan sesekali simpan tin atau pek asal di dalam peti kerana bimbang berkulat hingga boleh merosakkan kualiti makanan.

5. Susunan botol

Botol sos tomato, kicap, sos tiram ataupun kordial elok disimpan di bahagian paling bawah tepi pintu.

Pastikan sebelum disimpan semula di dalam peti sejuk lap sekeliling badan dan penutup botol bagi menghilangkan sisa kotoran dan mengelakkan kulat.

6 Penyimpanan sayur

Satu tip mudah adalah dengan menyimpan sayur di dalam bekas yang beralaskan tisu lembap. Asing atau potong sayur mengikut saiz pilihan sebelum disimpan di dalam bekas tersebut.

Kaedah berkenaan membantu mengelakkan sayur-sayuran menjadi lembik dan cepat rosak.

7. Barang basah

Simpan daging, ayam atau makanan laut seperti ikan, udang dan sotong di dalam bekas bertutup atau plastik zip lock.

Cara tersebut bukan sahaja mengekalkan kesegaran bahan basah, bahkan memudahkan proses menyimpan mengikut kategori dan membuatkan ruang sejuk beku tampak tersusun.

8. Balut keju

Bagi penggemar keju, elak menyimpan produk tersebut di dalam plastik kerana ia akan mendorong pertumbuhan kulat.

Sebaik-baiknya balut keju menggunakan pembalut aluminium, tetapi jangan terlalu ketat dan longgar. Selain itu, pastikan anda membuat lubang kecil atas aluminium berkenaan untuk memberikan ruang udara.

9. Guna bekas lut sinar

Gunakan bekas lut sinar pelbagai saiz supaya mudah untuk mengenal pasti isi di dalam. Bagi mendapatkan pemandangan susunan yang cantik pilih bekas lut sinar berpenutup warna sama.

10 Label

Selain bekas lut sinar meletakkan label pada setiap bekas, botol atau pek plastik juga akan memudakan proses mengambil ketika memasak.