Penampilan elegan Civic facelift 2019

Wartawan Sinar Turbo diberi peluang secara eksklusif memandu jentera baharu keluaran Honda di Bangkok, Thailand

A
A
A

SETELAH tiga tahun berada dalam pasaran Malaysia, kini Honda Civic generasi ke-10 bakal diberi nafas baharu melalui versi facelift yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Susulan itu, Honda Malaysia sudah memulakan langkah awal dengan mengumumkan bahawa tempahan Civic yang 'disegarkan semula' itu dibuka dan bakal dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun 2019.


BAHAGIAN belakang Civic facelift baharu 2019.
BAHAGIAN belakang Civic facelift baharu 2019.

Berdasarkan rekod, Civic generasi ke-10 merupakan sedan paling laris dalam segmen C di Malaysia dengan angka jualan lebih 50,000 unit setakat Ogos 2019. Difahamkan, sejak model itu hadir sekitar tahun 2016, Civic menguasai 82 peratus pasaran kenderaan di Malaysia.

Bagi melihat sendiri Civic facelift yang bakal dilancarkan itu, Sinar Turbo dan beberapa pengamal media dunia permotoran tempatan diberi peluang melawat kilang Honda yang terletak di Prachinburi, Thailand. Selain mengadakan sesi lawatan, kesemua wartawan turut dijemput untuk melakukan sesi pandu uji eksklusif Civic facelift 2019.

BARISAN pengurusan HM dan pengamal media ketika dihadapan lobi Kilang Honda Prachinburi, Thailand.
BARISAN pengurusan HM dan pengamal media ketika dihadapan lobi Kilang Honda Prachinburi, Thailand.

Proses pembuatan

Kembara penulis dimulakan dengan pihak Honda bersama pasukannya membawa kami melihat sendiri proses pembuatan dan pemasangan pengeluaran beberapa model Honda yang terdapat di kilang mereka.

Pun demikian, kami tidak berpeluang melihatnya (proses) secara menyeluruh atas faktor-faktor keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Namun, apa yang boleh penulis kongsikan, kilang serba baharu itu dilengkapi dengan pelbagai teknologi produksi mesra persekitaran dan efisien. Pendekatan itu sesungguhnya dilihat dapat membantu mempertingkatkan keupayaan syarikat dalam menghasilkan produk terbaik bagi pelanggannya di Thailand dan negara lain.

Menariknya lagi, Sinar Turbo difahamkan kilang di Prachinburi itu mampu menghasilkan sebanyak 120,000 unit kenderaan setahun dalam kapasiti maksimum.

Kilang berkenaan yang telah memulakan produksi bagi model pertamanya iaitu Civic generasi ke-10 diikuti dengan komponen plastik dan enjin (masing-masing pada Oktober 2015 dan Februari 2016) turut merancang untuk membina dan mengeluarkan model sub kompak dan kompak pada masa hadapan.

Secara keseluruhan, sejumlah 17.2 billion baht diperuntukkan untuk pembinaan kilang enjin dan pemasangan di Prachinburi. Struktur dan fungsinya dikatakan sama seperti kilang Yorii Honda di Jepun.

Selain di Prachinburi, Honda turut dalam proses meningkatkan taraf kilang di Ayutthaya yang akan membolehkan premis itu menghasilkan sejumlah 240,000 hingga 300,000 unit kenderaan dalam tempoh setahun.

Sistem Bantuan Honda Sensing

Lawatan itu penulis sifatkan amat bermakna apabila diberi peluang untuk menguji sistem penuh bantuan pemanduan Honda Sensing dan memandu uji jentera tersebut melalui lebuh raya sekitar Prachunburi menuju ke Bangkok, Thailand.

Sebelum itu, dalam taklimat, Honda Malaysia memaklumkan bahawa Civic 2019 bakal diberikan sistem baharu berkenaan bagi memberi keyakinan buat pemandu. Hal itu membuatkan keinginan untuk mengetahuinya sangat tinggi.

Apa sebenarnya Honda Sensing? Untuk makluman, Honda Sensing merupakan sistem keselamatan yang terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ciri bantuan pemanduan, penghindaran pelanggaran sisi dan penghindaran pelanggaran secara berdepan.

Ia terdiri daripada sistem cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

PANDANGAN hadapan civic facelift 2019
PANDANGAN hadapan civic facelift 2019

Dua peranti kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang dan milimeter wave radar pada bahagian depan akan mengendalikan kesemua perjalanan sistem tersebut.

Kewujudan ciri lain seperti Adaptive Cruise Control (ACC) termasuk LSF sememangnya memberi keselesaan tambahan kepada pengguna. Penulis yakin untuk berkata demikian kerana penulis sempat mencubanya dengan bantuan pasukan pengurusan Honda Malaysia ketika sesi pandu uji.

ACC berfungsi dengan baik apabila mengekalkan jarak serta kelajuan selamat dengan kenderaan di depan, dalam julat kelajuan 30 km/j hingga 180 km/j.

Fungsi LSF juga tidak kurang hebatnya. Sekiranya dalam keadaan lalu lintas sesak dengan pergerakan berhenti yang kerap, sistem itu membolehkan Civic facelift mengikut kenderaan di hadapan juga dengan jarak yang selamat yang telah ditetapkan.


BARISAN pengurusan Honda Malaysia dan pengamal media merakamkan gambar kenangan selepas sesi pandu uji Sistem Bantuan Honda Sensing.
BARISAN pengurusan Honda Malaysia dan pengamal media merakamkan gambar kenangan selepas sesi pandu uji Sistem Bantuan Honda Sensing.

Dalam satu keadaan lain yang mana jika kenderaan di depan bergerak, jentera yang dipandu akan mengalami pergerakan dan dan turut akan berhenti secara automatik (sekiranya kenderaan di hadapan berhenti). Keadaan seumpama itu dapat memberi ruang kepada pemandu untuk berehat seketika dalam keadaan trafik yang sesak.

Rekaan

Berkenaan dengan rekaan, berdasarkan pengamatan penulis, binaan Civic facelift itu tidak hanya tegap dan sporty malah ruang simpanan dan tempat duduknya juga cukup selesa.

Ketika di laluan lurus lebuh raya, jentera berkenaan langsung tidak menghadapi masalah untuk memecut laju apatah lagi memintas kenderaan lain.

KEMASAN lampu hadapan baharu yang tampil lebih sporty.
KEMASAN lampu hadapan baharu yang tampil lebih sporty.

Tidak keterlaluan penulis katakan, keselesaan yang ditawarkan tidak sahaja hanya untuk penumpang bahkan untuk pemandu juga. Cukup selesa dengan kedudukan kerusi empuk yang mudah dilaraskan.

Dari segi pemanduan, Civic facelift amat menyenangkan. Penulis dapat merasakan ia kekal stabil dan bersahaja ketika merentasi perjalanan sepanjang lebuh raya di Bangkok.

Secara asasnya, Civic facelift masih mengekalkan enjin sama iaitu 1.5L VTEC Turbo berkuasa 171hp dan tork 220Nm yang dipadankan transmisi CVT. Aspek pengendalian juga masih sama seperti Civic terdahulu.

BAGI bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna.
BAGI bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna.

Jentera itu juga akan hadir dengan kamera LaneWatch iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic 2019 akan menerima 'penderia parkir hadapan' dan ciri-ciri lain. Antaranya ialah pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

Selain itu, pembaharuan lain yang dibuat Honda pada bahagian luar ialah bampar baru yang mana bukaan udara bahagian bawahnya kini kelihatan bersambung menjadi satu.

Jentera tersebut juga dijadualkan akan melalui proses penambahbaikan pada desain luaran yang lebih sporty dan diperhalusi dengan menampilkan lampu hadapan dan lampu kabus jenis LED.

Menjengah ke bahagian belakang pula, terdapat kemasan spoiler belakang, perincian krom pada bahagian bawah bampar, manakala sisi tepi pula, jentera itu dipadankan dengan rekaan rim baru.

Sebagai tambah nilai, Honda keluaran baharu itu akan membawakan rim aloi rekaan baharu bersaiz 18 inci untuk model facelift itu.

SIRIP antena jerung
SIRIP antena jerung

Untuk kelengkapan lain, terdapat sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin dan pendingin hawa automatik.

Ciri keselamatan

Tidak lengkap sekiranya sebuah model kenderaan terbaharu tidak ditampilkan dengan ciri-ciri keselamatan yang sangat diperlukan.

Untuk memenuhi keperluan itu, Civic facelift masih dibekalkan dengan enam beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.

PANDANGAN hadapan civic facelift 2019
PANDANGAN hadapan civic facelift 2019

Secara keseluruhan, penulis berpendapat, jika dilihat dari sudut pakej lengkap sebuah sedan segmen C yang mewah dan premium, Honda Civic facelift 2019 memiliki segala-galanya. Kelengkapan Sistem Bantuan Honda Sensing pada jentera itu boleh dikatakan sebagai satu bonus dan pakej yang sangat lengkap.

Harga jualan masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh Honda Malaysia, namun tempahan sudah pun boleh dilakukan di mana-mana pusat pameran Honda bertauliah di seluruh negara.

Maklumat lanjut, sila hubungi talian tol percuma Honda 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my