Karya seni Yusof Ghani dalam sehelai busana

SofeaRose berkolaboratif dengan pelukis terkemuka negara menerusi koleksi art to wear

A
A
A

JENAMA fesyen tempatan, SofeaRose sekali lagi mencipta ledakan dalam industri fesyen tanah air apabila menampilkan koleksi art to wear, SofeaRose x Yusof Ghani Segerak VIII- Utopia.

Koleksi busana istimewa yang memasuki musim ke-3 itu merupakan kolaboratif tahunan antara jenama SofeaRose bersama Ikon Pelukis Negara, Prof Yusof Ghani.

SofeaRose x Yusof Ghani sebelum ini pernah mengambil tempat di London pada tahun 2017 dan Madrid (2018).

Hasil seni lukisan Yusof diterjemahkan dan dicetak bagi menghasilkan rekaan pakaian wanita yang eksklusif.

Menurut Pengarah Urusan SofeaRose, Zaki Yusof, beliau ingin membuktikan bahawa fesyen bukan sesuatu yang kosong dan membosankan, tetapi sarat dengan warna dan aura.

"Bertitik tolak daripada itu, saya mendapat idea untuk menjadikan sebuah lukisan pada helaian pakaian.

"Justeru, dek mengagumi dan menyanjungi karya-karya beliau (Yusof) maka saya menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dan maklum balas diterima amat positif," jelas Zaki yang mengasaskan SofeaRose bersama pasangan, Farrah Aina dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

Berusaha merealisasikan koleksi SofeaRose x Yusof Ghani untuk musim kali ini, mereka mempertaruhkan lukisan Solitude II, Jubilant II, Sublime II, Grandee II, Sovereignty II dan Avengers I daripada siri Segerak VIII.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, ia turut mengetengahkan enam rekaan busana berkonsepkan gaun malam dan smart kasual.

"Elemen Ruffles, Bishop dan Maskulin Cut menjadi pilihan kerana melambangkan sisi wanita zaman moden.

"Sementara itu, pemilihan siluet Trumpit, Sheath dan Column pula bagi menonjolkan kesepaduan lukisan Yusof dalam setiap helaian,” katanya.

Menyentuh mengenai fabrik, Zaki memberitahu, kain net, sutera Thai, satin matte dan sifon merupakan material utama digunakan mengikut kesesuaian potongan dan mood koleksi kali ini.

Bagi pemilihan warna, permainan nuansa tanah seperti coklat, buah zaitun, merlot dan cognac menjadi pilihan supaya diselarikan dengan pemilihan lukisan pelukis tersebut.

Terdahulu, koleksi art to wear, SofeaRose x Yusof Ghani Segerak VIII- Utopia telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Galeri Prima, Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu. Turut mencemar duli, Tuanku Zara Salim.

ANEKDOT

KOLEKSI SofeaRose

Lokasi: Bangi Sentral, Melawati Mall, Seksyen 7, Shah Alam dan Seksyen 19, Shah Alam

Telefon: 019-635 0464

Web: www.sofearose.com/

Facebook: www.facebook.com/sofearose.my

Instagram: @sofearose_hq