Lima ditahan di Neon Countdown PD malam tadi

Sekitar program Neon Countdown yang berlangsung malam tadi.
Sekitar program Neon Countdown yang berlangsung malam tadi.
A
A
A
PORT DICKSON - Polis menahan lima individu dipercayai memiliki dan memasukkan dadah dalam badan di kawasan penganjuran program Neon Countdown yang diadakan di Tasik Villa, Lukut, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap suspek.

Katanya, kesemua mereka terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki itu adalah orang luar, bukan penduduk setempat.

"Pada jam kira-kira 7 malam sebelum program bermula kami telah menahan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa pil dipercayai dadah ada bersama mereka, dan ujian urin mendapati positif, bagaimanapun kes ini masih lagi dalam siasatan," katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di program Neon Countdown di Lukut malam tadi.

Penganjuran program Neon Countdown yang bertemakan ‘Love, Music and Experience’, sempena menjelang tahun baharu 2019, menjadi kontroversi apabila mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk sekitar.

Program yang berlangsung di sebuah kawasan privasi itu, mengundang kemarahan penduduk setempat, yang khuatir akan wujudnya masalah moral, selain bertentangan dengan budaya Malaysia.

Menurut Aidi, pihaknya turut kesal dengan program yang berlangsung malam tadi, berikutan tidak sama seperti yang dimohon penganjur sebelum ini.

"Permohonanan awal penganjur lebih kepada persembahan kebudayaan dan kesenian tetapi kita dapati penganjuran yang diadakan malam tadi bertentangan dengan permohonan yang dibuat.
Artikel Berkaitan:


"Saya amat kesal dengan apa yang penganjur buat tanpa memaklumkan kepada pihak polis situasi dan perancangan sebenar," katanya.

Tambahnya, hasil pemantauan mendapati pihak penganjur melakukan program lain, tidak sama seperti surat permohonan yang dikemukakan.

"Dengan itu mereka dianggap bersalah kerana melanggar peraturan, dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Awam dan jika di sabit kesalahan boleh dikenakan denda," katanya

Katanya, program sebegini memang tidak dibenarkan atas faktor-faktor keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Seramai 70 anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan tersebut, bagi mengelakkan kegiatan yang tidak diingini berlaku, selain 200 pengawal keselamatan disediakan penganjur.

Lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada pelancong luar negara, hadir menyertai Neon Countdown ini dengan harga tiket bermula RM168 sehingga RM20,000.

Turut kelihatan hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malek dan Penyelaras Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Tambah Aidi, secara keseluruhan program ini berada dalam keadaan terkawal, meskipun pada awalnya pihaknya berjaya mengesan penjualan dan penyediaan minuman keras dalam

program tersebut, namun akhirnya pihak penganjur akur dengan menarik semula semua minuman keras dalam kawasan tersebut.