X

Kindly register in order to view this article
!

Sang bedal berjemur tepi sawah padi

A
A

BESUT- Penduduk Kampung Baloh di sini gempar apabila menemukan seekor buaya tembaga sepanjang dua meter di tepi sawah padi, pagi semalam.

Kehadiran reptilia itu disedari Mohd Faizul Mat Noor, 36, dari Pasir Puteh, Kelantan kira-kira jam 10 pagi selepas ternampak kelibat buaya berkenaan yang merangkak keluar dari parit sebelum berjemur di tepi sawah padi.

"Saya bersama empat lagi rakan ketika itu sedang membuat kerja-kerja memasang pembetung di kawasan tersebut sebelum terdengar bunyi kocakan air dari parit berhampiran yang agak kuat.

"Beberapa minit kemudian, saya ternampak kelibat seekor buaya yang merangkak keluar dari parit sebelum berjemur di tepi sawah padi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Faizul berkata, pada mulanya buaya berkenaan dilihat sangat jinak kerana tidak bergerak atau memberi sebarang tindakan meskipun dihampiri.

"Bagaimanapun, ia mula agresif selepas saya bersama rakan yang lain cuba menangkap dengan memasang jerat tali di lehernya," katanya yang menyerahkan reptilia itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Mohd Faizul bersama rakannya menghantar reptilia itu ke pejabat Perhilitan Jerteh, di sini dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda miliknya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima seekor buaya tembaga yang diserahkan oleh penduduk kampung semalam.

Katanya, replitia itu diserahkan dalam keadaan baik sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

Semalam, tular di laman sosial beberapa keping gambar penduduk di Kampung Baloh, disini, yang sedang 'bermain' dengan seekor buaya tembaga.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!