‘Gaya saya memang begini’

Norhizam
Norhizam
A
A
A

SHAH ALAM - Dilabel sebagai Yang Berhormat samseng, malah turut dimaki dan dihina sejak bergelar wakil rakyat bukanlah penyebab buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Melaka, Norhizam Hassan Baktee bertindak ‘angkat kaki’ daripada terus menjadi ADUN.

Beliau sebaliknya terus bertekad menabur bakti kepada rakyat selagi khidmatnya diperlukan.

Norhizam berkata, beliau percaya rakyat akan terus mendambakan khidmatnya meskipun ada cakap-cakap mengatakan beliau hanya layak menjadi wakil rakyat sepenggal.

“Itu ramalan mereka (jadi wakil rakyat sepenggal). Saya ukur baju di badan sendiri. Saya tahu apa yang saya buat.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Saya tahu kerja saya dan saya boleh menilai KPI (petunjuk prestasi utama) saya. Saya tahu rakyat Melaka dan Pengkalan Batu memang harapkan saya selesaikan masalah yang tertunggak ketika sejak zaman kerajaan terdahulu dan dibawa kepada saya. Insya-ALLAH saya boleh selesaikan,” katanya kepada Sinar Harian pada program Sinar Live di sini.

Ditanya mengenai gayanya yang didakwa berlagak seperti anak muda, Norhizam berkata, itu memang gayanya dan bukan dibuat-buat.

“Ketrampilan saya memang begini, daripada sekolah hinggalah saya hari ini. Pakaian dan usia bukan ukuran, yang penting bagi saya seseorang itu mestilah kemas.

“Itu pada saya tetapi kalau orang hendak anggap saya yang bukan-bukan, itu terpulang. Terima kasihlah kepada parti saya dahulu, UMNO kerana telah mempopularkan saya. Hingga hari ini semua orang mengenali saya,” katanya kini mencecah usia 53 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menyentuh perihal keluarga sama ada mereka menerima tempias kontroversi yang sering dikaitkan dengannya, Norhizam berkata, beliau banyak memberi nasihat kepada keluarganya untuk berhadapan dengan situasi seumpama itu.

“Saya nasihatkan mereka agar kuat kerana mereka tulang belakang saya selama ini. Alhamdu-lillah, isteri saya boleh menerima. Dia kenal siapa saya,” katanya.

Norhizam berkata, dari segi pendidikan, beliau mengakui hanya mendapat pendidikan sehingga tamat Tingkatan Lima.

“Saya sekolah tidak tinggi, hanya Tingkatan Lima. Selepas itu saya menceburi bidang perniagaan, berniaga logistik, mempunyai bas kilang dan kemudian jadi usahawan sehinggalah menjadi Yang Berhormat.

“Saya tahu apa yang saya buat. Kenapa dikritik saya buat kerja? Saya turun padang. Apa sahaja yang saya buat, selesaikan masalah penduduk. Cara saya memang tegas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu urus babi paling sukar: Norhizam