Hai lelaki, sila hormati peraturan...

Kaum Adam di Malaysia dikatakan kerap mencerobah parkir yang dikhaskan untuk golongan wanita

SELAIN parkir khas untuk wanita dan orang kelainan upaya (OKU), pusat beli-belah juga harus menyediakan ruang khas bagi memudahkan para pemandu kenderaan menurunkan dan menjemput penumpang OKU, warga tua dan kereta sorong bayi.
SELAIN parkir khas untuk wanita dan orang kelainan upaya (OKU), pusat beli-belah juga harus menyediakan ruang khas bagi memudahkan para pemandu kenderaan menurunkan dan menjemput penumpang OKU, warga tua dan kereta sorong bayi.
A
A
A

KEMUDAHAN kawasan parkir khas untuk wanita di pusat beli-belah sepatutnya memberi kelegaan, keselesaan dan rasa lebih selamat bagi kaum Hawa yang bersendirian atau membawa anak kecil.

Namun, sebaliknya berlaku kerana kawasan parkir yang disediakan khas untuk wanita itu sering dicerobohi golongan lelaki.

Suri rumah, Siti Mahziyatul Abdullah, 37, berkata, kemudahan itu sangat bermakna baginya yang sering kali berseorangan ataupun hanya bersama anak kecil berumur tiga tahun ketika mengunjungi pusat beli-belah di Lembah Klang.

Mengakui rasa lebih selamat, apatah lagi kawasan parkir khas itu dipantau sama ada pengawal atau kamera keselamatan, beliau juga selesa kerana tidak perlu tergopoh-gapah untuk memasukkan anaknya yang berusia tiga tahun ke dalam kereta sorong ataupun mengangkat barang ke dalam kereta selepas membeli-belah.

Namun, beliau kecewa kerana sesetengah pengurusan pusat beli-belah tidak memagarkan (pagar mudah alih) parkir khas untuk wanita yang diwarnakan merah jambu ataupun oren itu.

“Lebih memburukkan keadaan, terdapat kaum lelaki dengan sengaja mencerobohnya. Saya pernah menegur pemandu lelaki yang menceroboh parkir wanita, mereka bukan sahaja tidak mengendahkan teguran malah ada yang memarahi saya.

“Pernah pada satu ketika dahulu tayar kereta saya dipancitkan seseorang kerana sebelum itu, saya pernah menegur seorang pemandu lelaki yang bersama isterinya meletakkan keretanya di sebelah kereta saya,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa perbuatan lelaki itu sama sekali tidak menghormati hak pemandu wanita.

Tambah beliau, mungkin lelaki itu mahu menemani isterinya namun kemudahan itu hanya untuk wanita dan jika ada lelaki di dalam sesebuah kenderaan itu, mereka hendaklah ke parkir biasa.

Artikel Berkaitan:

PENGURUSAN pusat beli-belah dapat meletakkan tanda isyarat ‘zon perlahan’ atau ‘zon bertimbang-rasa’ serta palang di kawasan parkir yang berpotensi berlakunya kecederaan atau jenayah.
PENGURUSAN pusat beli-belah dapat meletakkan tanda isyarat ‘zon perlahan’ atau ‘zon bertimbang-rasa’ serta palang di kawasan parkir yang berpotensi berlakunya kecederaan atau jenayah.

Wujudkan zon selamat

Parkir khas wanita diperkenalkan sejak tahun 2012, kemudian beberapa premis perniagaan dan pejabat yang menjadi tempat tumpuan awam turut mengambil langkah sama bagi tujuan keselamatan.

Namun, kesedaran dan keprihatinan terhadap keperluan kemudahan khas untuk wanita dilihat masih kurang dalam kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, jika kawasan parkir khas itu tidak dipantau atau dipagar, pastinya ada pemandu tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dan meletakkan kereta di situ.

Presiden Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya (RSMC), K Balasupramaniam berkata, kemudahan parkir khas merupakan satu pengiktirafan terhadap kepentingan kaum wanita dalam mengurangkan kadar jenayah atau serangan ke atas wanita di tempat terbuka.

“Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang mengambil sikap sambil lewa terhadap objektif penyediaan parkir ini apabila sesetengah pusat beli-belah sekadar menyediakan kemudahan namun tidak dipagar, dipasang CCTV (kamera litar tertutup) atau dijaga rapi oleh pengawal keselamatan,” katanya.

Menurut beliau lagi, kemudahan itu sepatutnya diberikan kepada wanita bersendirian dan ibu yang membawa anak-anak kecil ketika membeli-belah.

“Majoriti pelanggan dan pengunjung pusat beli-belah ialah wanita, jadi bagaimanakah pula definisi ladies parking ini diberikan? Adakah kepada golongan wanita berseorangan ataupun pemandu termasuk penumpang wanita?

“Jika dilihat dari segi logiknya, wanita membawa anak-anak kecil lebih menjadi sasaran penjenayah berbanding wanita bujang yang masih boleh berlari pantas menyelamatkan diri apabila dikejar,” katanya.

KEMUDAHAN parkir khas merupakan satu pengiktirafan terhadap kepentingan kaum wanita dalam mengurangkan kadar jenayah atau serangan ke atas wanita di tempat terbuka.
KEMUDAHAN parkir khas merupakan satu pengiktirafan terhadap kepentingan kaum wanita dalam mengurangkan kadar jenayah atau serangan ke atas wanita di tempat terbuka.

Keselamatan

Bagi Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolong Wanita (WAO) V. Sumitra, kriteria parkir wanita di setiap premis dan pusat beli-belah dilihat sangat berlainan bagi pemandu wanita yang ingin menggunakan kemudahan itu.

“Kriteria kemudahan itu tidak jelas kerana saya lihat ada parkir ‘wanita’ di pusat beli-belah yang memberi kebenaran kepada seorang pemandu sahaja dan ada juga yang memberi kebenaran kepada dua pemandu.

“Malah ada juga kereta dengan pemandu dan penumpang wanita melebihi dua orang dibenarkan memasuki kawasan parkir wanita,” katanya.

Selain itu, Sumitra berkata, selain pengawal keselamatan dan pagar, hanya segelintir parkir yang dilengkapi pengawal keselamatan dan CCTV bagi mengawasi kawasan parkir tersebut.

Tambah beliau, CCTV juga harus berada dalam kondisi yang baik agar rakaman nampak jelas dan ditempatkan pada kedudukan strategik agar tidak meliputi lingkungan blind spot.

Beliau juga menyuarakan betapa pentingnya penubuhan akta gangguan seksual bagi membantu golongan wanita yang mengalami situasi ini tidak kira di tempat kerja mahupun tempat awam.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis, Low Ngai Yuen berpendapat, keselamatan parkir di pusat beli-belah bukan hanya perlu tertumpu kepada kaum wanita malah meliputi semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, selain parkir khas untuk wanita dan orang kelainan upaya (OKU), pusat beli-belah juga harus menyediakan ruang khas bagi memudahkan para pemandu kenderaan menurunkan dan menjemput penumpang OKU, warga tua dan kereta sorong bayi.

“Apabila mereka (warga emas) lambat masuk atau keluar kereta, pasti orang yang menunggu akan suruh mereka cepat dengan membunyikan hon dan sebagainya sehingga membuatkan mereka berasa resah.

“Tanpa disedari, ada individu lain yang memerhatikan pergerakan mereka dari jauh dan bertindak mengambil kesempatan atas kelemahan mereka,” katanya.

Pihak pengurusan pusat beli-belah seharusnya peka dan memberi perhatian sepenuhnya dalam memastikan seluruh kawasan premis selamat untuk dikunjungi orang awam pada bila-bila masa.

Ibu kepada empat orang anak itu berpendapat ibu bapa yang membawa anak kecil juga terdedah kepada bahaya apabila sukar mengawal anak mereka yang berlari dan melintas secara tiba-tiba di kawasan parkir.

“Saya berharap pihak pengurusan pusat beli-belah dapat meletakkan tanda isyarat ‘zon perlahan’ atau ‘zon bertimbang-rasa’ serta palang di kawasan parkir yang berpotensi berlakunya kecederaan atau jenayah.

“Keselamatan merupakan perkara asas yang harus diambil-berat oleh semua pihak. Dalam situasi seperti ini pihak pengurusan pusat beli-belah bertanggungjawab memastikan setiap sudut kawasan mereka selamat untuk dikunjungi orang ramai,” tegasnya.