Sindiket MyKad: Pemuda UMNO ulang desakan

Asyraf Wajdi - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO sekali lagi mengulangi desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal penjualan kad pengenalan (Mykad) di Pulau Pinang yang didedahkan baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan RCI itu tentunya mampu menjernihkan segala polemik termasuk tuduhan dan pelbagai persepsi bagi memastikan hak kewarganegaraan Malaysia tidak sewenang- wenangnya tergadai dek agenda politik dangkal.

Menurutnya, pihaknya memandang serius dan menzahirkan keraguan terhadap dakwaan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengenai skandal penjualan MyKad yang kononnya dimulakan sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Walhal beliau terlupa pada waktu itu juga, skandal ini didedahkan di Pulau Pinang yang ketika itu kerajaan negeri diperintah DAP sejak tahun 2008.

"Ironinya, DAP pernah membangkitkan sindiket penjualan kad pengenalan (IC) di Sabah yang berlaku di zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Sekiranya Kasthuri dan DAP yakin skandal penjualan IC dibuat sejak era BN, mengapa pula DAP tidak membuat apa-apa pendedahan mengenai sindiket penjualan MyK ad di Pulau Pinang selama ini?," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, lebih meragukan apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer daripada DAP sendiri tampil menawarkan khidmat sebagai peguam bela kepada suspek dalam pertuduhan mengenai penjualan MyKad di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Mengapakah Ahli Parlimen yang mengangkat sumpah untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, begitu bersungguh-sungguh mahu membela mereka?

"Kasthuri sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap begitu ‘defensive’ kerana ia hanya menyerlahkan sandiwara DAP yang cuba mengalihkan isu, bahkan seolah-olah membenarkan spekulasi DAP yang ternyata menerima manfaat politik daripada penambahan jumlah pengundi di Pulau Pinang demi mengekalkan kuasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual MyKad mungkin berlaku di negeri lain