11 penunggang motosikal roda tiga diberkas

Antara motosikal roda tiga yang dirampas.
Antara motosikal roda tiga yang dirampas.
A
A
A

KAJANG - Polis memberkas 11 warga asing atas kesalahan menunggang motosikal roda tiga tanpa lesen yang sah dan kesalahan trafik lain dalam Ops Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ops yang dilancarkan pada jam 9 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan di sekitar Kajang.

“Dalam pemeriksaan ini, sebanyak 11 penunggang motosikal roda tiga ditahan atas kesalahan menunggang tanpa lesen yang sah dan memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

“Kesemua penunggang motosikal itu merupakan warga Myanmar. Kita mendapati sebanyak tujuh buah motosikal jenis Honda C100, dua buah motosikal jenis Modenas Kriss, sebuah motosikal jenis Yamaha Y110SS2 dan sebuah motosikal jenis Yamaha SRV telah diubah suai kepada roda tiga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua warga asing itu direman selama sehari dan dituduh di Mahkamah Kajang pada Rabu lalu atas 112 pertuduhan antaranya tidak memiliki lesen memandu, saman tertunggak atas pelbagai kesalahan dan waran tangkap.

“Mahkamah Kajang telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM19,750 ke atas 11 penunggang motosikal tersebut.

"Kesemua mereka mengaku bersalah dan telah membayar denda di Mahkamah Kajang,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya sering menerima aduan dan kegusaran masyarakat setempat berkenaan geng motosikal roda tiga yang dinaiki warga asing yang banyak kelihatan sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

“Kumpulan ini juga dikatakan terlibat dengan kes kes curi besi dan apa-apa jua barang lusuh yang boleh dijual,” katanya.