Cuepacs mahu elaun COLA diselaraskan: Azih

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan menyemak kembali elaun Bantuan Kos Sara Hidup (COLA) bagi penjawat awam bagi membantu golongan itu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, elaun COLA juga perlu diselaraskan kerana ketika ini kadar yang diberi adalah berbeza mengikut lokasi.

"Bagaimanapun, jika elaun COLA ini diselaraskan, penjawat awam yang berada di bandar raya besar tidak akan menikmatinya kerana ketika ini kadar COLA tertinggi adalah di bandar raya besar.

"Jadi, Cuepacs berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya untuk terus membantu penjawat awam di beberapa bandar raya besar di negara ini yang mempunyai kos sara hidup terlalu tinggi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Cuepacs negeri Terengganu di sini hari ini.

Mengambil contoh senario Johor Bahru, Azih berkata, kesan daripada pertumbuhan di Singapura turut memberi impak kepada kehidupan penduduk di sekitar bandar raya itu.

"Contohnya harga pasar tani di sana antara yang paling mahal di seluruh negara. Rakyat Singapura belanja guna duit dia, mungkin tak rasa mahal...jadi kami berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya itu untuk penjawat awam di bandar raya tertentu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dapat menyegerakan pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang sudah lama dibiarkan tidak terisi bagi melancarkan lagi urusan tadbir kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap calon untuk mengisi jawatan ini mestilah datangnya dari Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berpengalaman luas, berintegriti dan mempunyai produktiviti yang tinggi,” katanya. - Bernama