Strategi kempen produk halal

A
A

DARIPADA Abu Abdillah Nu’man bin Basyir radhiallahu anhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menyatakan bahawa ada 3 kategori benda atau perkara iaitu yang halal, yang haram dan yang ada syubhah (samar-samar/tidak pasti). Yang halal dan haram itu mudah untuk dikenalpasti melalui kriteria yang jelas. Tetapi kategori yang ketiga iaitu yang syubhat, amat sukar untuk dikenalpasti adakah ia lebih kepada halal atau kepada haram. Orang yang warak pada kebiasaannya tidak melibatkan diri dalam perkara yang ada syubhat. Ini kerana dia bimbang kalau-kalau dia terjerumus dalam perkara haram tanpa disedari.

Saya bukan bertujuan untuk huraikan tentang tiga kategori tersebut secara terperinci bila membawakan hadis di atas. Tujuan sebenar saya adalah untuk mengajak pembaca semua bersama-sama saya untuk berfikir sama ada produk bukan Muslim yang ada sijil pengesahan Halal Malaysia yang disahkan oleh Jakim atau mana-mana badan persijilan halal lain yang diiktiraf Jakim itu sudah memadai untuk menjelaskan kehalalannya dan adakah kempen untuk memboikot produk tersebut wajar dilakukan?

Dalam realiti kehidupan kita, kita tidak dapat lari daripada keperluan dan hajat kita kepada sesuatu benda atau khidmat orang lain. Ini kerana kita bukanlah insan yang sempurna segalanya dan memiliki segalanya. Itulah lumrah hidup. Dalam konteks kehidupan seorang Muslim, apa yang sepatutnya dicari adalah suatu yang menepati ajaran Islam. Jika makanan yang dicari, mestilah yang halal. Jika kerja yang dicari, mestilah yang halal. Jika bantuan kewangan yang diperlukan, mestilah melalui cara dan kaedah yang patuh Syariah.

Adakah semua itu mesti diperolehi daripada orang Muslim sahaja? Adakah Islam hadkan transaksi kita dengan orang Islam sahaja? Tidak sama sekali. Rasulullah SAW adalah model agung kita dalam menjalani kehidupan ini. Dalam sebuah hadis telah dinyatakan bahawa Baginda membeli makanan daripada orang Yahudi dan menggadaikan baju besinya.

Kenapa agaknya Rasulullah beli makanan daripada orang Yahudi? Kenapa tidak beli daripada orang Islam? Mungkin ketika itu tidak ada orang Islam yang boleh menjual makanan yang Baginda perlukan. Mungkin juga ketika itu ada makanan daripada orang Islam tetapi yang dihasilkan oleh Yahudi ini lebih baik.

Keyakinan

Apa jua kemungkinannya, itu bukan fokus kita. Yang kita patut nilai ialah bagaimana Rasulullah SAW sendiri membeli makanan daripada bukan Muslim. Mungkin orang berhujah, dia ahli kitab. Sembelihannya halal. Benar sekali. Tetapi apa yang saya nak sampaikan kepada pembaca sekalian adalah kerana keyakinan Rasulullah SAW terhadap halalnya makanan tersebut walaupun pembuatnya atau penjualnya adalah bukan Muslim.

Oleh itu, dalam konteks kita di Malaysia, kita bertuah kerana ada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk memberi pengesahan halal kepada mana-mana pihak yang memohonnya iaitu pihak Jakim. Jika dahulu kita hanya bergantung kepada kaedah 'asal Muslim yang jual' untuk menenangkan hati kita bahawa apa yang kita beli dan makan itu adalah halal. Padahal tidak mustahil dia memperolehi bekalan daripada sumber yang tidak halal sekiranya dia bukan seorang yang mengutamakan hukum hakam agama Islam.

Jadi, berbalik kepada hadis di atas yang menyatakan halal itu jelas dan haram itu jelas, maka tidakkah dengan adanya logo halal yang sah dan diiktiraf Jakim itu menjadikan produk yang sebelumnya tidak jelas halal haramnya kepada produk yang jelas halalnya. Jika kita setuju logo halal itu dapat meyakinkan kita tentang status halal sesuatu produk, jadi wajarkah kita kempen memboikotnya?

Melainkan jika terdapat bukti jelas bahawa syarikat yang diberi sijil pengesahan Halal Malaysia misalnya menggunakan hasil keuntungan tersebut untuk memerangi umat Islam. Ketika itu saya berpandangan kita wajib boikot, malah menjadi tanggungjawab pihak Jakim untuk menarik balik sijil pengesahan Halal Malaysia tersebut.

Bagaimanapun, jika tiada asas yang kuat dan bukti yang jelas untuk kita lancarkan kempen boikot secara besar-besaran terhadap produk halal bukan Muslim yang ada di negara kita ini, sudah tentu ia memberi impak negatif yang sangat signifikan terhadap hubungan sesama kaum. Apalagi bila ditambah dengan ulasan dan komen yang berbaur perkauman dalam pelbagai bentuk media sosial yang ada hari ini.

Semua ini jika tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana, ia boleh menghancurkan keamanan negara dalam sekelip mata sahaja. Mahukan kita hidup seperti di Palestin? Mahukah kita hidup seperti di negara-negara lain di mana umat Islam disakiti dan ditindas? Tiada lagi kebebasan untuk berjalan di jalan raya. Semua hidup dalam ketakutan kerana api permusuhan yang menyala dengan maraknya. Mahukah kita?

Oleh itu, kebijaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara adalah suatu yang amat diperlukan dalam masyarakat berbilang kaum ini. Jangan sekali-kali kita mencetuskan sesuatu yang boleh menggugat keharmonian antara kaum. Ini tidak bermakna kita perlu berdiam diri sahaja. Tidak sama sekali. Fikir dan carilah strategi yang lebih berkesan yang tidak menjejaskan keharmonian kaum. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.