Catuan air di Melaka hanya dibuat sekiranya perlu, kata Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Tindakan melaksanakan catuan air hanya akan dilaksanakan sebagai satu langkah terakhir bagi mengatasi masalah bekalan air di Melaka, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menghantar surat permohonan cadangan pelaksanaan catuan air di negeri itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 22 September merupakan satu langkah awal dan ianya masih belum dimuktamadkan.

"Pelaksanaan catuan air atau bekalan air berjadual di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran daripada SPAN dan permohonan berkenaan adalah langkah awal sekiranya ia perlu dilakukan.

"Sekiranya ia dilakukan, SAMB akan memaklumkan lebih awal kepada pengguna atau kawasan terlibat, sekurang-kurangnya sehari sebelum catuan dibuat dan ia seperti yang tular di media sosial iaitu pelaksanaannya mengikut zon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu tular surat permohonan cadangan catuan air di Melaka oleh SAMB kepada SPAN dan pelan tindakan cadangan pelaksanaan bekalan air berjadual di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan surat itu, paras air di tiga empangan di negeri Melaka terus mencatatkan penyusutan yang mana Empangan Durian Tunggal telah turun ke tahap kritikal iaitu 20 peratus sementara pelan tindakan itu mencadangkan pelaksanaan catuan bekalan air berkenaan terbahagi kepada dua zon dengan jumlah 313 kawasan di daerah Melaka Tengah iaitu 125 kawasan bagi zon satu dan 188 kawasan bagi zon dua.

Mengulas lanjut, Adly berkata, walaupun Melaka telah mula menerima hujan sejak beberapa hari lepas, namun paras empangan masih berada pada tahap kritikal, sementara hanya paras sungai sahaja meningkat dan beberapa pam air di negeri itu telah beroperasi semula.

Beliau berkata, sehingga kini 31 lori tangki air termasuk milik agensi atau jabatan kerajaan negeri seperti bomba dan tentera telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi menyalurkan bekalan air kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, kerajaan Melaka juga telah membuat permohonan peruntukan daripada SPAN untuk melaksanakan pelan jangka sederhana melibatkan pengurusan aset air negeri itu bagi mengatasi gangguan bekalan tersebut.

"Ia melibatkan peruntukan yang besar iaitu sekitar RM128 juta dan pelaksanaan projek aset air tersebut antaranya pembinaan pembetungan serta pemasangan paip baharu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang menggunakan dana sedia ada di bawah SAMB untuk menampung sebahagian kos pelaksanaan projek tersebut sementara menunggu peruntukan daripada SPAN yang dijangka mengambil masa yang agak lama. - Bernama