X

Kindly register in order to view this article
!

Jerebu: Pelajar boleh pulang ke Indonesia bila keadaan pulih

Maszlee (kiri) berswafoto bersama pelajar ketika menyambut kepulangan 47 pelajar Malaysia dari Pekanbaru Riau Indonesia di bawah proses evakuasi berikutan pengisytiharan darurat jerebu di Riau Indonesia sejurus tiba di KLIA 2, hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A

SEPANG - Pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Riau dan Jambi di Indonesia ekoran pengisytiharan darurat jerebu oleh kerajaan Indonesia di kawasan berkenaan akan terus berada di tanah air sehingga keadaan di kawasan itu kembali normal.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, apabila keadaan di kawasan berkenaan sudah kembali pulih berdasarkan kepada pengumuman yang dibuat kerajaan Indonesia, barulah para pelajar itu akan dibenarkan kembali ke sana.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini bagi menyambut ketibaan 47 pelajar Malaysia yang dievakuasi dari kawasan berkenaan.

Menurutnya, kumpulan kedua pelajar yang dievakuasi seramai 31 orang dijadualkan tiba di tanah air kira-kira pukul 6.10 petang ini.

Sementara itu, Marzuki berkata, kerajaan Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Indonesia yang banyak membantu dalam proses evakuasi pelajar Malaysia.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai mana-mana pelajar Malaysia di sana yang terjejas kesihatannya akibat bencana jerebu.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, kerajaan Malaysia memutuskan untuk melaksanakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Riau dan Jambi.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 300 orang pelajar Malaysia di Provinsi Riau dan Jambi.

Sementara itu wakil pelajar, Ahmad Nasruddin Ahmad Ridzuan, 25, ketika ditemui di lapangan terbang berkata, beliau dan rakan-rakannya bersyukur kerana dapat pulang ke Malaysia buat sementara sehingga keadaan pulih.

Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tafsir Hadis Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekan Baru, Riau itu berkata, sesi pengajian di sana ditangguhkan di waktu darurat ini.

"Keadaan di sana tidak menentu. Kadang-kadang tu rasa sesak nafas juga bila keluar ke kedai, tapi kami di sana banyak duduk di dalam rumah sahaja memandangkan kelas pun tiada," katanya.

Seorang lagi pelajar, Alya Najeeba Mohd Zamri, 20, berkata, dia pernah terfikir untuk balik ke Malaysia selepas kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat Isnin lalu di mana ketika itu Indeks Pencemaran Udara (IPU) sudah mencecah 774.

"Sebelum itu, ibu bapa saya ada melawat saya di sana pada Sabtu dan Ahad lepas dan mereka mahu saya pulang bersama ke Malaysia susulan jerebu teruk di sana. Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan pulang kecuali sekiranya kerajaan Indonesia isytihar darurat.

“Sehari selepas itu, Riau diisytihar darurat dan kelas pengajian ditangguhkan sementara," katanya yang kini di tahun kedua pengajian tafsir al-Quran, Fakulti Usuluddin, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!