AS$700 juta dana 1MDB dikatakan dipindah ke syarikat Jho Low

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sekiranya audit dikendalikan ia akan mendedahkan bahawa dana AS$700 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, demikian semasa menjawab satu soalan semasa pemeriksaan ketua oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, satu audit akan mendedahkan bahawa AS$700 juta dari AS$1 bilion bagi satu usahasama 1MDB-Petro Saudi dipindahkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.

Sri Ram: Adakah AS$1 bilion itu sudah dibayar?

Shahrol Azral: Ya, sudah.

Sri Ram: Apakah yang audit itu akan dedahkan pada ketika itu?

Shahrol Azral: Audit itu pada 2010 akan dapat mendedahkan bahawa kami melabur AS$1 bilion dengan Petro Saudi International, tetapi AS$300 juta telah masuk dalam syarikat usahasama itu (antara 1MDB dan Petro-Saudi) manakala AS$700 juta telah dipindahkan ke sebuah lagi syarikat yang dikatakan milik Jho Low.

Sri Ram: Apa nama syarikat berkenaan?

Shahrol Azral: Good Star Limited.
Artikel Berkaitan:


Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata tidak perlu satu langkah audit ke atas 1MDB memandangkan syarikat berkenaan sudahpun melantik firma akauntan Ernst and Young, dan satu laporan audit akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (Yang Diperbadankan) apabila ia telah bersedia.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama