Ribut: Pokok tumbang di beberapa kawasan di Pulau Pinang

Sebuah kereta rosak ditimpa pokok.
Sebuah kereta rosak ditimpa pokok.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa kawasan di negeri ini terjejas apabila berlaku kejadian pokok tumbang selepas dilanda ribut jam 4.20 petang tadi.

Antara kawasan yang terjejas ialah Lebuh Nordin, Kampung Rawa, Taman Sri Pinang dan Macallum.

Difahamkan, selain kenderaan beberapa struktur bangunan seperti gerai makanan, jalan raya dan kuil turut mengalami kerosakan apabila ditimpa pokok besar.

Sebuah kereta rosak ditimpa pokok dan tiang lampu di Taman Sri Pinang.
Sebuah kereta rosak ditimpa pokok dan tiang lampu di Taman Sri Pinang.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kita masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenalpasti kawasan yang terjejas selain premis dan kenderaan yang terlibat. Setakat ini, saya difahamkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

"Ketika ini, pihak bomba dan beberapa agensi lain termasuk kakitangan PBT sedang membersihkan kawasan dan jalan yang terjejas akibat kejadian pokok tumbang. Saya akan maklumkan perkembangan terkini nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Sebuah kereta ditimpa pokok besar di Taman Sri Pinang dalam kejadian ribut tadi.
Sebuah kereta ditimpa pokok besar di Taman Sri Pinang dalam kejadian ribut tadi.

Menurutnya, angin selaju 40km sejam yang berlaku dalam tempoh 15 minit itu telah menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan menimpa struktur bangunan dan kereta.

"PBT akan memantau keadaan terutamanya ketika angin kuat dari semasa ke semasa menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan," katanya.