D-Max 2019 tawar 11 varian

Pakej lengkap, enjin baharu

A
A
A

ISUZU Malaysia baru-baru ini telah melancarkan secara rasmi barisan model trak pikap yang dikenali sebagai D-Max 2019 untuk pasaran tempatan.

D-Max baharu hadir dengan penawaran enjin baharu iaitu 1.9L Ddi BluePower yang menggantikan enjin 2.5L sebelum ini.

Meskipun lebih kecil daripada sebelumnya, namun enjin diesel turbo charge itu mampu menghasilkan 150hp dan 350 Nm yang mana 10 peratus lebih tinggi berbanding enjin 2.5L.

Untuk beberapa generasi sebelum ini, enjin diesel Isuzu telah berkhidmat dengan penuh ketahanan dan lasak. Dengan angka pengeluaran enjin mencecah 25 juta unit dan sebagai pengeluar automotif tertua di Jepun, Isuzu melangkau lebih jauh ke hadapan dengan pengenalan enjin baharu iaitu RZ4E.

RZ4E merupakan antara enjin diesel paling kompak dan lasak serta cekap untuk kegunaan pada trak pick-up hari ini.

Mengikut spesifikasi, enjin RZ4E itu merupakan enjin 1.9L 4-silinder DOHC 16V common rail direct injection dan dilengkapi dengan pengecas turbo (VGS).

Artikel Berkaitan:

 Koji Nakamura (kanan) bersama enjin Isuzu baharu RZ4E ketika majlis pelancaran.
Koji Nakamura (kanan) bersama enjin Isuzu baharu RZ4E ketika majlis pelancaran.

Sebagai pelopor dalam pembangunan enjin diesel di peringkat global, Isuzu mengambil langkah penting untuk memenuhi keperluan pembebasan sisa enjin yang lebih rendah dengan penjimatan minyak lebih tinggi dan penjanaan kuasa enjin yang lebih baik.

Direka untuk memenuhi keperluan penggunaan minyak dan pembebasan C02 yang lebih rendah, enjin 1,898 cc itu mampu memberikan prestasi yang lebih baik, ketahanan tinggi serta penjimatan lebih baik, senyap dan kurang geseran sekali gus menyumbang kepada kos penggunaan lebih rendah walaupun hadir dalam pakej keseluruhan yang lebih kecil dan kompak.

Dengan pelancaran itu, Isuzu D-Max 2019 juga menjadi trak pikap yang pertama di sini yang menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) selari di bawah Peraturan 101 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Teknologi canggih

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, Isuzu D-Max 1.9-liter Blue Power itu menggabungkan kemajuan teknologi dan kepakaran Isuzu untuk menyediakan kepada pengguna sebuah enjin tahan lasak, namun pada masa yang sama tetap mempunyai prestasi lebih baik termasuk menjimatkan minyak.

“Isuzu D-Max baharu ini memberikan nilai terbaik dengan prestasi yang dipertingkatkan, penggunaan minyak yang rendah, kos operasi yang rendah, dan cukai jalan yang juga lebih rendah di kebanyakan lokasi di Malaysia,” jelas beliau semasa majlis pelancaran Isuzu D-Max 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi tujuan memperluas jaringan manfaat yang boleh dinikmati pengguna, Isuzu Malaysia menawarkan Isuzu D-Max terbaharu dengan 11 varian dalam segmennya.

Ia bermula dengan penawaran peringkat kemasukan, 1.9 liter Low-Rider 4x2 manual, yang disasarkan untuk memenuhi keperluan kelompok peniaga.

Diikuti pula oleh model kabin tunggal (single cab) yang datang dengan enjin 1.9 liter dan 3.0 liter, kedua-duanya dengan pacuan 4x4. Kemudian hadir pula versi kabin berkembar (double cab) yang dilengkapi transmisi manual atau automatik dalam penawaran paling asas iaitu Type B dan juga bagi tingkat kemasan premium.

Turut serta di dalam barisan penawaran itu ialah versi pacuan 4x2 automatik yang disasarkan untuk pengguna urban yang tidak memerlukan fungsi pacuan 4x4. Varian paling tinggi ialah 4x4 Auto Premium. Kedua-dua varian tersebut hadir dengan pilihan enjin 1.9 liter dan 3.0 liter.

Pilihan warna baharu turut ditawarkan seperti warna Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.

Bagi pembeli yang menempah D-Max dari hari ini hingga 31 Oktober nanti akan mendapat jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan paling menarik ialah pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh lapan tahun.

Untuk maklumat lanjut berkaitan barisan penawaran Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, layari laman www.isuzu.net.my/pickup atau sila rujuk laman Facebook rasmi Isuzu Malaysia @ISUZU.DMax.Malaysia.