Bekas CEO Rayani Air peluk Islam

Syed Mohd Amirrudin (kanan) berkongsi berita gembira mengenai perkahwinan Ravi dan isterinya di media sosial.
A
A

PASIR MAS - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air, Ravi Alagendran, 52, bergelar saudara baharu selepas memeluk Islam secara rasmi semalam.

Rakan baik kepada usahawan penerbangan itu, Syed Mohd Amirrudin Syed Alwi berkata, Ravi melafazkan dua kalimah syahadah di Balai Islam Lundang di sini.

"Saya gembira dengan perkhabaran ini. Dia (Ravi Alagendran Abdullah) memperoleh hidayah daripada ALLAH SWT untuk memeluk Islam menerusi mimpi.

"Pergaulan dengan rakan-rakan beragama Islam turut menjadi pendorong kepada Ravi untuk mendalami Islam," katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Menurutnya, tindakan Ravi memperkenalkan penerbangan patuh syariah merupakan salah satu usahanya selepas tertarik dengan ajaran Islam.

"Bagi 'menyuburkan' lagi perasaannya terhadap Islam, Ravi banyak membaca dan belajar berkaitan agama Islam. Selain itu, dia kerap mendengar ceramah-ceramah daripada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

"Sejurus memeluk Islam, Ravi Alagendran berkahwin dengan warga Indonesia, Uci Indah Sari, 23," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Rayani Air merupakan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan memulakan operasi pada Disember 2015.

Pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) serta Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.