X

Kindly register in order to view this article
!

Gempa bumi Pakistan: Tiada rakyat Malaysia terjejas

Kenyataan media Kementerian Luar hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas susulan gempa bumi di Jhelum, Punjab, Pakistan, petang semalam.

Kementerian itu bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Kementerian telah menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan Pakistan dan rakyat negara itu khususnya yang terjejas secara langsung dengan bencana tersebut.

"Doa dan ingatan kami bersama rakyat Pakistan yang sedang berdepan saat sukar ini," katanya.

Sementara itu, bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan, mereka boleh menghubungi pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad menerusi talian Telefon: +92512072900 atau 923028443021 (selepas waktu pejabat)

Terdahulu, gempa bumi 5.8 magnitud menggegarkan utara Pakistan, semalam sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan 100 mangsa lain.

Difahamkan, gempa itu berlaku di lokasi yang terletak 23 kilometer di utara Jhelum, Pakistan pada kedalaman rendah 10 kilometer, lapor Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional Pakistan, Leftenan Jeneral Mohammad Afzal, kebanyakan kerosakan berlaku di kawasan antara Jhelum dan Mirpur.

Gempa bumi besar terakhir di Kashmir berlaku pada 2005 dan mengorbankan lebih 80,000 orang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!