Golongan bawah 40 tahun paling ramai terlibat rasuah

Shamshun Baharin( tengah) beramah mesra dengan pemenang Pertandingan Pidato Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Shamshun Baharin( tengah) beramah mesra dengan pemenang Pertandingan Pidato Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya menangkap 5,024 individu yang terlibat gejala rasuah di negara ini bagi tempoh tahun 2014 hingga Ogos 2019.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, daripada statistik itu golongan bawah usia 40 tahun merupakan pelaku utama dengan merekodkan 53.2 peratus daripada jumlah keseluruhan berkenaan.

"Kita menggalakkan mana-mana pelajar atau ahli akademik yang hendak buat analisis lebih mendalam berdasarkan statistik ini. Biar ada satu kajian bebas daripada luar, statistik yang kita ada adalah berdasarkan tangkapan sebenar.

"Apabila kita melihat statistik 10 tahun ke belakang atau terakhir ini pun trendnya adalah sama iaitu mereka yang paling ramai terlibat kesalahan rasuah ini adalah yang berumur 40 tahun ke bawah.

"Kalau dikaitkan komposisi yang ada di dalam dunia pekerjaan sekarang, mereka ini adalah pelajar yang menjadi responden kepada kajian dilakukan pada tahun 2002 lalu. Kita tidak terkejut mereka ditangkap sebab jawapan mereka menyatakan kesanggupan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Bank Rakyat, Saliman Zainal serta Pengarah Bahagian Pendidikan Malaysia SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat.

Pertandingan tersebut dilaksanakan secara bersama antara pihak Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Bank Rakyat serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Shamshun berkata, pertandingan itu salah satu pendekatan dilaksanakan pihaknya dalam usaha memerangi gejala rasuah dan menerapkan nilai murni kepada pelajar yang merupakan aset penting kepada pembangunan serta hala tuju negara.

Katanya, empat institusi pengajian tinggi telah menyatakan minat serta kesediaan menawarkan kursus berkaitan integriti dan rasuah di universiti masing-masing sebagai inisiatif membendung gejala rasuah.

"UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) adalah universiti pertama di negara ini yang menawarkan kursus integriti dan rasuah. Selepas ini empat lagi akan menyusul antaranya Universiti Putra Malaysia, Kolej Universiti Islam Melaka serta Universiti Multimedia," katanya.