X

Kindly register in order to view this article
!

Tergamak ugut bunuh bapa kerana wang RM20

Seorang lelaki sanggup mengugut untuk membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Nyior Sebatang, Sungai Dua, di sini semalam hanya kerana warga emas itu enggan memberikannya wang RM20.
A
A

TASEK GELUGOR - Seorang anak sanggup mengugut untuk membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Nyior Sebatang, Sungai Dua, di sini semalam hanya kerana warga emas itu enggan memberikannya wang RM20.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, suspek berusia 34 tahun berang dan bertindak mengamuk selepas permintaannya untuk mendapatkan wang dipercayai bagi membeli dadah tidak diendahkan sebelum dia mengacukan pisau ke arah bapanya yang berusia 74 tahun di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu lelaki tersebut yang juga penagih dadah turut mengamuk dan merosakkan barangan dalam rumah.

"Semasa kejadian itu suspek yang mengacukan sebilah pisau kepada bapanya sambil berkata “saya akan bunuh hang”.

"Ketika itu hanya warga emas berkenaan dan anaknya berada di rumah manakala ahli keluarga mereka yang lain berada di tempat kerja," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, warga emas itu bertindak membuat laporan polis selepas bimbang dengan keselamatan dirinya.

Noorzainy berkata, selepas laporan dibuat, polis berjaya menahan anak lelakinya di rumah mereka kira-kira sejam selepas kejadian

"Berdasarkan siasatan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku kerana suspek akan mengamuk setiap kali dia gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus