APMM pantau jerebu, peralihan monsun untuk keselamatan nelayan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
A
A
A

PASIR PUTEH - Walaupun keadaan jerebu sudah beransur reda berikutan hujan di kawasan pantai sejak dua hari lepas, namun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sentiasa memantau keadaan jerebu dan perubahan monsun di Laut Cina Selatan bagi keselamatan nelayan.

Timbalan pengarahnya, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, Kapal Maritim Jujur (KMJujur) diarah melakukan tinjauan.

“Bagaimanapun, keadaan di lautan masih diancam bahaya apabila ombak hampir setiap malam melepasi paras biasa yang mengancam bot-bot kecil,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun bermula 24 September hingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat.

Ismail berkata, walaupun setiap bot nelayan sudah dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Global (GPS) untuk mengelak sebarang bentuk pelanggaran akibat jerebu tetapi keadaan ombak yang datang secara tiba-tiba sukar diramalkan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Saripudin Ishak berkata, pihaknya menggalakkan 900 ahlinya keluar ke laut secara berkumpulan supaya mereka dapat bantu-membantu antara satu sama lain sekiranya berlaku kerosakan bot ketika jerebu dan peralihan monsun.

Beliau berkata, ia berikutan 90 peratus daripada jumlah ahli persatuan itu terdiri daripada nelayan tradisional yang memiliki bot-bot kecil yang sentiasa terdedah dengan bahaya.

“Sejak seminggu lepas keadaan jerebu agak teruk sedikit dengan jarak penglihatan kira-kira satu batu nautika yang menyebabkan hasil tangkapan ikan berkurangan berikutan nelayan takut untuk pergi lebih jauh dari pantai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pengusaha bot laut dalam, Roslan Abdul Rahman berkata, lapan bot miliknya yang berpangkalan di Tok Bali terpaksa melalui laluan sukar sejak seminggu lepas apabila keadaan jerebu mengurangkan jarak penglihatan kepada 200 hingga 300 meter.

“Saya bersyukur kerana setakat ini tiada kemalangan yang berlaku dan bot-bot saya dapat keluar masuk setiap hari dengan selamat,” katanya. - Bernama