Guru tadika rugi rumah dipecah masuk

Tular di media sosial Facebook berhubung kejadian pecah rumah di Taman Padu Permai semalam.
Tular di media sosial Facebook berhubung kejadian pecah rumah di Taman Padu Permai semalam.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang guru tadika kerugian RM6,100 selepas rumahnya dipecah masuk dalam kejadian di Taman Padu Permai di sini semalam.

Kejadian jam 6 petang itu disedari wanita berusia 51 tahun itu sebaik tiba di rumahnya selepas pulang mengajar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, mangsa mengesyaki kediaman dimasuki pencuri selepas melihat rumahnya berselerak selain atap genting bahagian dapur terbuka dan siling dapur pecah.

"Berdasarkan keterangan mangsa, dia keluar meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci pada jam 2.30 petang," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati wang tunai berjumlah RM3,100, dua subang emas, dua cincin emas dan tiga rantai emas milik mangsa hilang dilarikan penjenayah.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi memasuki rumah terbabit melalui bumbung dan keluar dari tempat sama.

"Tiada kesan umpil atau kesan pecah pada bahagian pintu pagar dan pintu utama rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular di media sosial Facebook berhubung kejadian pecah rumah di Taman Padu Permai semalam.