Elaun RM120,000 sebagai Pengerusi BOA 1MDB ditetapkan Najib

 Perbicaraan hari ke-13 kes Najib membabitkan dana 1MDB.
Perbicaraan hari ke-13 kes Najib membabitkan dana 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa jumlah elaun RM120,000 setahun yang diperoleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditetapkan sendiri oleh bekas perdana menteri itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, Najib turut menetapkan jumlah elaun RM96,000 setahun yang diterima oleh Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB.

Shahrol Azral berkata, pembayaran kedua-dua elaun berkenaan telah diluluskan dan ia boleh disahkan melalui dokumen Directors Circular Resolution (DCR) 1MDB yang ditandatangani pada 6 Jun 2010 selepas dokumen berkenaan dirujuk kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib membabitkan dana 1MDB.

"Setelah jumlah elaun berkenaan diluluskan oleh Najib, barulah kami akan membawa masuk ke dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) untuk dimuktamadkan kelulusannya.

"Mesyuarat antara saya sebagai CEO dan Datuk Seri Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB diadakan berdasarkan keperluan sama ada saya ataupun beliau.

"Adakalanya beliau (Najib) yang akan memanggil mesyuarat dan adakalanya saya yang memohon untuk diadakan mesyuarat," kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Menurut Shahrol Azral, mesyuarat berkenaan diadakan antara mereka berdua sahaja tanpa kehadiran individu lain termasuklah pencatat minit kerana beliau sendiri yang akan membuat minit dan disahkan oleh Najib.

"Mesyuarat itu juga bertujuan untuk melapor status terkini kesemua perkara dalam syarikat, meminta maklum balas dan hala tuju seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama