Pemberian lesen ternak, proses daging babi perlu diperketat

Mas Ermieyati -Foto Bernama
Mas Ermieyati -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian lesen kepada penternak dan kilang pemprosesan daging babi di Melaka memerlukan satu proses yang ketat dan mengambil kira setiap aspek.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia berikutan terdapat dalam kalangan penternak yang masih gagal mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan bahkan turut sesuka hati melepaskan sisa buangan ternakan hingga menjejaskan alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau menggesa penternak dan pengilang perlulah mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh setiap agensi terlibat.

"Malah ia juga telah diputuskan dalam mesyuarat di Majlis Perbandaran Alor Gajah sebelum ini semua pihak perlu mematuhi peraturan asas iaitu keselamatan dan kebersihan dijadikan panduan asas bagi semua pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan akhbar malam tadi.

Justeru tegasnya, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan pernyataan Exco Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkaitan pemberian lesen perlu diberikan demi menghormati kaum cina.

"Malah ia juga tidak adil bagi penternak-penternak haiwan jenis lain yang benar-benar mengikuti peraturan dan syarat yang ditetapkan.

"Pemberian lesen perlu diperhalusi dan mengikut peraturan serta standard yang ditetapkan dan bukan hanya kerana ingin menghormati golongan tertentu," katanya.

Tegasnya, beliau tidak ada masalah sekiranya penternak (kaum Cina) itu diberikan lesen sekiranya mereka mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN Isu urus babi paling sukar: Norhizam

Artikel Berkaitan: