Bicara tangguh, Rafizi keracunan makanan

Ahmad Nizam (tengah) ketika ditemui media di lobi mahkamah selepas kes ditangguh hari ini.
Ahmad Nizam (tengah) ketika ditemui media di lobi mahkamah selepas kes ditangguh hari ini.
A
A
A
SHAH ALAM - Prosiding perbicaraan bagi permohonan rayuan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung sabitan dan hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) ditangguhkan hari ini ekoran beliau mengalami keracunan makanan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam belanya, Ahmad Nizam Hamid kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafar di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nizam, hakim telah menetapkan perbicaraan kes rayuan itu didengar semula pada 24 Oktober ini.

“Malam tadi saya dimaklumkan beliau mengalami keracunan makanan.

“Hari ini perbicaraan ditangguhkan kerana Rafizi tidak dapat hadir dan akan dibicarakan semula pada 24 Oktober, jam 2.30 petang,” katanya kepada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Nizam berkata, sepanjang menjadi peguam bela menguruskan kes Rafizi ini merupakan kali pertama anak guamnya gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana masalah kesihatan.

Pada Februari tahun lalu, Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukumkan penjara 30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, turut dijatuhi hukuman sama atas dakwaan bersubahat dengan Rafizi.

Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.
Artikel Berkaitan:


Hakim membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan kos ikat jamin RM15,000 seorang.

Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.