Bapa Ahli Parlimen Kota Melaka hilang 14 jam ditemui selamat

Poay Tiong (kanan) melihat bapanya yang ditemui selamat.
Poay Tiong (kanan) melihat bapanya yang ditemui selamat.
A
A
A

ALOR GAJAH - Bapa kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang tersesat di Ladang Sawit Panchor, Jalan Machap Umboo ditemui selamat di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Khoo Nian Koon, 73, ditemui berjalan keluar sendiri ke kawasan pos kawalan bomba setelah sesat kira-kira 14 jam, lebih kurang jam 8 pagi.

Nian Koon berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dia menyertai acara joging bersama kira-kira 40 rakan yang lain, namun disebabkan tiba agak lewat, dia mengikut pandu arah kertas yang ditinggalkan oleh salah seorang rakannya.

Bagaimanapun menurutnya, tiba di dua persimpangan, dia kemudian mengikut arah menghala ke kawasan kilang kuari dan setelah lama berjalan dia gagal menemui kumpulan rakannya itu.

Poay Tiong menemani bapanya,Nian Koon yang tiba di Hospital Alor Gajah untuk melakukan pemeriksaan dengan menaiki EMRS Bomba.
Poay Tiong menemani bapanya,Nian Koon yang tiba di Hospital Alor Gajah untuk melakukan pemeriksaan dengan menaiki EMRS Bomba.

"Keadaan pula semakin gelap dan ketika mahu menuju berdekatan kilang kuari itu saya menuruni satu kawasan curam, namun terjatuh dan kepala terkena batu menyebabkan kepala sedikit luka.

"Saya fikir, kalau saya sampai ke kilang kuari itu pasti ada jalan keluar, namun keadaan yang semakin gelap. Jadi, saya terpaksa ambil keputusan untuk menunggu waktu cerah dan bersabar," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 14 jam itu, dia hanya terlena beberapa jam sahaja disebabkan keadaan cuaca yang sejuk dan bernasib baik tidak dihampiri binatang berbisa.

Artikel Berkaitan:

"Cuma saya ada dengar bunyi babi hutan dan digigit semut. Jadi bila hari sudah siang, saya meneruskan perjalanan keluar," katanya.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, dia bersyukur bapanya ditemui selamat dan dimaklumkan mengenai kejadian ketika sedang mengagihkan air kepada penduduk di kawasan Banda Hilir lebih kurang jam 10.45 malam tadi.

Menurutnya, dia terkejut menerima berita itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam, bagaimanapun usaha kumpulan larian mencari bapanya bermula sejak 8.30 malam gagal sebelum dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Machap Baru.

"Lega bila bapa ditemui dalam keadaan selamat, walaupun mengalami sedikit luka, namun bapa masih lagi berjalan dan bertenaga

"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk bomba, Pertahanan Awam (APM) termasuk polis yang menggunakan anjing K9 dalam operasi itu selain bantuan penduduk Machap yang turut mencari bapa saya," katanya.

Poay Tiong melihat kepala bapanya yang luka setelah mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.
Poay Tiong melihat kepala bapanya yang luka setelah mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.

Operasi yang diketuai Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli dari Balai Bomba Alor Gajah mengesahkan usaha mencari orang sesat yang bermula jam 2.30 pagi dengan kekuatan lapan anggota ditamatkan selepas mangsa berjaya ditemui.

"Sejak awal pagi tadi kita tidak putus menjalankan operasi termasuk di kawasan trek yang mereka selalu gunakan untuk joging sejauh 5.29 kilometer," katanya.