KPKT lancar Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia

Zuraida (tengah), Raja Kamarul Bahrin Shah (kanan) dan Mohammad (kiri) mencuba basikal dan scooter pada Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia baru-baru ini.- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zuraida (tengah), Raja Kamarul Bahrin Shah (kanan) dan Mohammad (kiri) mencuba basikal dan scooter pada Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia baru-baru ini.- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah baharu dalam usaha membangunkan negara dengan melancarkan buku Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di sini semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kelolaan KPKT terutamanya di kawasan bandar boleh menggunakan buku itu sebagai panduan untuk membangunkan kawasan masing-masing.

“Saya amat berharap lebih banyak PBT akan ambil langkah lebih progresif dalam meningkatkan perhubungan, komunikasi dan keberkesanan infrastruktur untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

“KPKT sangat komited dalam memastikan kerajaan tempatan turut mengambil bahagian dalam membangunkan negara dan memajukan kawasan mereka juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek di sini baru-baru ini.

Zuraida Kamaruddin (tengah) dan Raja Kamarul Bahrin Shah (dua dari kiri) dan Mohammad Mentek (dua dari kanan) bersama peserta persidangan ketika Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zuraida Kamaruddin (tengah) dan Raja Kamarul Bahrin Shah (dua dari kiri) dan Mohammad Mentek (dua dari kanan) bersama peserta persidangan ketika Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Bandar Pintar merupakan sebuah bandar yang menggunakan teknologi terkini dan digital dalam usaha menangani masalah lazim di bandar-bandar antaranya seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran, ancaman keselamatan penduduk dan bencana alam.

Konsep tersebut dibawa ke negara ini untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar dan buat masa ini, lima lokasi menjadi projek pilot iaitu Kulim, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad berkata, kementerian menghasilkan buku tersebut bagi memberi panduan untuk PBT menyelesaikan masalah infrastruktur yang berlaku di kawasannya.

“Sebagai permulaan, kita telah kenal pasti lima PBT yang boleh dijadikan sebagai projek pilot dengan inisiatif masing-masing. Contohnya Kuching, mereka akan laksanakan sistem lampu isyarat pintar.

“Ia bagi mengelakkan kesesakan dan ada juga fungsi lain. Kita ambil contoh negara maju, mereka ada sistem jauh lebih baik daripada kita yang boleh dicontohi,” katanya.

Mohammad berkata, dengan perkembangan terbaru itu, beliau berharap KPKT dapat memperluaskan lagi projek tersebut dengan inisiatif dan inovasi berbeza dapat dilaksanakan di bandar-bandar berlainan.

“Kita harap pada satu masa nanti semua bandar-bandar di Malaysia akan menjadi Bandar Pintar,” katanya.

Beliau berkata, selain mengoptimumkan penggunaan teknologi, Bandar Pintar Malaysia juga tidak lupa untuk menekankan aspek penjagaan alam sekitar.


Zuraida Kamaruddin (tengah), Raja Kamarul Bahrin Shah (dua dari kiri) dan Mohammad (enam dari kanan) bersama pemenang-pemenang Axiata Urbanlytic Datathon ketika Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar
Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zuraida Kamaruddin (tengah), Raja Kamarul Bahrin Shah (dua dari kiri) dan Mohammad (enam dari kanan) bersama pemenang-pemenang Axiata Urbanlytic Datathon ketika Pelancaran Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

“Sebagai contoh, bagaimana untuk mengoptimumkan rangka kerja Bandar Pintar di mana ada sistem yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti dari segi kutipan sampah.

“Kita dapat lihat adanya penyelesaian berdasarkan daripada sistem berkenaan. Ini antara contoh-contoh bagaimana teknologi Bandar Pintar mampu memudahkan hidup masyarakat,” katanya.

Menurutnya, Bandar Pintar Malaysia juga merangkumi tujuh komponen utama iaitu Ekonomi Pintar, Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Masyarakat Pintar, Kerajaan Pintar, Pengangkutan Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar.

Persidangan Antarabangsa Cities 4.0 peringkat antarabangsa mengenai Bandar Pintar yang dianjurkan secara bersama antara KPKT, Confexhub Group dan Human Life Advancement Foundation (HLAF) turut berlangsung selama dua hari di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Bertemakan Unlocking Functional And Sustainable Cities For All, persidangan itu mengumpulkan pihak berkepentingan dan pemegang taruh termasuk daripada agensi kerajaan, kerajaan negeri, PBT, pihak industri swasta, akademia dan pakar teknologi Bandar Pintar dari dalam dan luar negara.

KPKT lancar Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia

KPKT lancar Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah baharu dalam usaha membangunkan negara dengan melancarkan buku Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, semalam. Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kelolaan KPKT terutamanya di kawasan bandar boleh menggunakan buku itu sebagai panduan untuk membangunkan kawasan masing-masing. LAPORAN MOJO, RIDAUDDIN DAUD

Posted by Sinar Harian on Tuesday, September 24, 2019