X

Kindly register in order to view this article
!

Katil khas untuk kanak-kanak derita saraf

Mohd Syahbuddin menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Syahir ketika berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis.
A
A

GUA MUSANG - Kanak-kanak derita saraf dari Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis, di sini bakal menerima sumbangan katil khas daripada Kerajaan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, sumbangan itu akan diserahkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sumbangan itu adalah keperluan utama Muhammad Syahir Rifqi Mohd Ridhwan, 9, yang terlantar sakit sejak lahir.

"Kita mendapat perkhabaran ini menerusi laporan akhbar Sinar Harian dan maklumat-maklumat terperinci sudah diperoleh daripada ibunya.

"Insya-ALLAH, proses penghantaran akan dibuat dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim turut berkunjung ke rumah keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan.

Katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM), walaupun keluarga tersebut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia masih belum mencukupi.

"Keluarga ini tetap memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi menampung kos susu khas dan lampin pakai buang mencecah RM900 sebulan.

"Pendapatan mereka sekeluarga tidak sampai RM1,000 sebulan kerana bapanya memperoleh pendapatan melalui hasil mengambil upah menoreh getah dan memanjat pokok petai.

"Kita berharap agar lebih ramai lagi yang menyumbang kepada keluarga ini kerana mereka perlu dibantu," katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak derita penyakit saraf sejak lahir memerlukan katil khas bagi memudahkan pengurusan sehariannya yang terlantar.

Ibunya, Nor Shahada Mohammad, 30, memberitahu, peningkatan berat melebihi 60 kilogram memerlukan bantuan suami, Mohd Ridhwan Mat Deris, 35, untuk mengangkat Syahir atau nama manjanya Adam.

Bagaimanapun, dengan pendapatan mengambil upah menoreh getah dan memanjat pokok petai menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli katil khas berharga ribuan ringgit.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!