Ibu Nakhoda Hidup penuhi keperluan PKS, bantu tingkat ilmu perniagaan

A
A
A

SETELAH menjelajah ke-10 lokasi Pasaraya Mydin sejak Mac lalu dan menyaksikan peningkatan penyertaan dalam kalangan ibu-ibu usahawan di seluruh negara, Program Keusahawanan Ibu Nakhoda Hidup mengakhiri perjalanannya untuk tahun kelima semalam.

Program itu merupakan usahasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls).

Pengarah Mydin, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd berkata, Mydin berbesar hati dapat menubuhkan satu rangkaian ibu-ibu usahawan dengan menyokong dan memberi inspirasi kepada mereka untuk meningkatkan ilmu dalam bidang perniagaan.

“Ketika Mydin bersama-sama mengorak langkah menerusi program ini pada tahun 2015, kami amat teruja kerana ia amat rapat dengan majoriti pelanggan Mydin.

“Malah, kami berasakan program seperti ini perlu untuk dikembangkan lagi agar lebih ramai ibu usahawan di negara ini memperoleh manfaat daripadanya,” katanya pada Majlis Penutupan Ibu Nakhoda Hidup 2019 di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor semalam.

Pada majlis tersebut Mydin dan P&G turut menyampaikan dana berjumlah RM135,353.27 kepada WOMEN: girls yang diperoleh menerusi Tabung Hulurkan Harapan P&G dan Mydin bagi menjayakan program Ibu Nakhoda Hidup.

Sementara itu, Pengarah Komersial P&G Malaysia, Nantha Kumaran Kalimuthu berkata, pihaknya meneruskan kerjasama bersama Mydin dan WOMEN:girls selama lima tahun berturut-turut kerana menyedari kepentingan sokongan diberikan kepada ibu-ibu usahawan.“Tahun demi tahun kami melihat usahawan yang menyertai program ini nampak lebih bersedia meskipun mereka telah memulakan perniagaan sebelum Ibu Nakhoda Hidup diwujudkan lagi.

“Justeru, cabaran kami seterusnya ialah untuk melihat bagaimana program ini boleh kekal relevan untuk keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Penyertaan meningkat

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, Izza Izelan memberitahu, pencarian Ibu Nakhoda Hidup 2019 yang berakhir pada 31 Julai lalu telah menerima seramai 407 penyertaan iaitu meningkat sebanyak 35 peratus berbanding tahun 2018.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih komited menyokong golongan ibu usahawan agar berani untuk pergi lebih jauh dengan perniagaan mereka.

“Kami akan cuba memberi sokongan sedaya upaya agar mereka ini tidak terus dilabel sebagai perniagaan dari rumah yang dianggap tidak penting oleh sesetengah usahawan sepenuh masa.

“Kami membantu memberikan pendedahan dan pendidikan kewangan berkaitan isi rumah dan perniagaan kecil untuk mewujudkan satu ekosistem sihat, sekali gus membolehkan mereka belajar menjadi ibu usahawan berjaya,” katanya.

Ibu Nakhoda Hidup ialah program yang dijalankan bagi membantu golongan ibu usahawan menjadi ‘nakhoda’ dalam mengemudi perjalanan perniagaan yang mereka usahakan agar tidak tertumpu kepada menjana pendapatan keluarga semata-mata.

Sebaliknya, program yang dilancarkan pada Mei 2015 itu mahu menjadikan peserta yang terlibat sebagai ibu usahawan.

Ibu usahawan yang terpilih menerima bantuan berupa penjenamaan perniagaan dan sokongan peralatan perniagaan.

Mereka yang mahu menyertai program berkenaan mestilah seorang ibu dan memiliki perniagaan sendiri yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Malaysia).

Program berlangsung di 10 Pasaraya Mydin di seluruh negara, antaranya ialah Mydin USJ, Selangor; Mydin Gong Badak, Terengganu; Mydin MiTC, Melaka dan Mydin Mutiara Rini, Johor Bharu.

Alumni Ibu Nakhoda Hidup

Alumni Ibu Nakhoda Hidup 2016, Mazleen Majmood, 46, yang mengusahakan Taska Fitri & Pusat Jagaan Fitri di Bandar Kinrara, Kuala Lumpur memberitahu, sokongan yang diterima daripada program itu berjaya membantunya melonjakkan lagi perniagaan yang dijalankan.

“Ketika saya memulakan perniagaan ini, saya tidak peduli apa cakap orang. Saya teruskan apa yang saya rancang.

“Selepas menyertai program ini saya lebih yakin dan merasa hala tuju perniagaan lebih jelas kerana mentor yang ada sentiasa membantu,” katanya.

Sementara Farah Izyan Jamel Nasir, 36, yang juga alumni 2015 berkata, setelah menyertai Ibu Nakhoda Hidup perniagaan kraftangan yang diusahakannya menerusi media sosial semakin dikenali.

“Dengan bantuan dan sokongan yang diberikan, jenama The Windfairy berjaya menambah pengikutnya di Instagram.

“Saya bermula secara hobi dan tidak menyangka hobi tersebut rupanya boleh menjana pendapatan,” katanya.

Justeru, Farah Izyan berharap agar program Ibu Nakhoda Hidup diteruskan bagi memberi inspirasi dan ilmu kepada lebih ramai ibu-ibu usahawan.