Dua penjenayah kes samun stesen minyak diberkas

Polis merampas beberapa peralatan yang digunakan penjenayah.
Polis merampas beberapa peralatan yang digunakan penjenayah.
A
A
A

PETALING JAYA – Polis memberkas dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah Stesen Minyak di SS2/2 Petaling Jaya, 17 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai Lembah Subang, di sini awal pagi tadi.

“Sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di kaki lima kediaman itu pada jam 12.20 pagi, kemudian kita menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di kawasan kediaman yang sama.

Mohd Zani berkata, pihaknya turut merampas sebilah parang panjang, motosikal jenis Honda Dash, dua beg silang, telefon bimbit dan topi keledar.

“Hasil siasatan awal, suspek telah berkenalan selama 12 tahun dengan rakannya yang merupakan jiran di Lembah Subang.

“Salah seorang suspek mengaku telah melakukan samun bersama rakannya sebanyak tiga kali selepas keluar dari Penjara Sungai Buloh pada 13 September lalu,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 8 malam, mangsa sedang bekerja di kaunter bayaran stesen minyak berkenaan sebelum seorang lelaki yang memakai helmet menghampiri kaunter bayaran.

Semasa di kaunter bayaran, dia telah mengeluarkan senjata parang dari beg sandang miliknya dan mengacukan senjata ke arah mangsa sebelum meminta mangsa membuka mesin wang dan menyerahkan kesemua wang yang ada.

Artikel Berkaitan:

Akibat bimbangkan keselamatan diri, mangsa menyerahkan kesemua wang tersebut.

Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave warna biru hitam bersama rakannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.