Kebebasan bersuara kekal subur

A
A
A

DALAM merangka sebarang jenis peruntukan undang-undang di Malaysia, penting pihak kerajaan memastikan hak asasi berkaitan kebebasan bersuara kekal subur dalam negara.

Kewujudan sebuah undang-undang bagi membendung suasana kebencian dalam negara dilihat perlu bagi memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan bersuara yang telah diberikan.

Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum, sebarang jenis ucapan yang tidak dikawal boleh menyebabkan berlaku keadaan huru-hara.

Banyak perkara yang sensitif melibatkan hubungan antara agama dan kaum. Sekiranya ada pihak yang gagal menjaga sensitiviti itu, konflik dan pergaduhan akan mudah berlaku hingga menyebabkan negara kucar-kacir.

Walaupun kewujudan undang-undang sedikit sebanyak dapat membantu meredakan ketegangan yang berlaku, namun ia tidak seharusnya dilihat atau disalah tafsirkan sebagai undang-undang yang boleh digunakan untuk membendung kebebasan rakyat Malaysia bersuara serta meluahkan pendapat masing-masing.

Pihak kerajaan harus memastikan hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk bersuara kekal terjamin. Kebebasan bersuara adalah penting untuk setiap manusia di atas muka bumi kerana melaluinya mereka dapat melakukan pelbagai perkara.

Agak sukar untuk sesebuah masyarakat dan negara untuk bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara tidak dihormati dan dipenuhi.

Kebebasan individu untuk bersuara juga penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan di Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Artikel Berkaitan:

Hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga jelas termaktub dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara.

Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi adalah kebebasan setiap rakyat untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti terkandung dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara.Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Sebarang jenis peruntukan undang-undang yang ingin dirangka oleh kerajaan perlu selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya ia tidak selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, maka peruntukan undang-undang itu boleh diisytiharkan sebagai terbatal atau tidak sah.

Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukan termasuk kebebasan untuk bersuara tidak bersifat mutlak.

Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan bahawa 'Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan'.

Dengan ini, pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang-undang jika mendapati sekatan itu perlu demi menjaga kepentingan keselama-tan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Walaupun kebebasan bersuara boleh dihadkan berdasarkan peruntukan Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak bermakna kerajaan boleh merangka sebuah undang-undang bagi menutup terus kebebasan setiap rakyat Malaysia untuk bersuara.

Oleh itu, cadangan pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah akta bagi membendung uca-pan kebencian di Malaysia perlu memastikan bahawa hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara masih kekal wujud, terjamin serta dilindungi.

Pada masa yang sama setiap ucapan yang diluahkan oleh mana-mana individu dapat menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat di Malaysia.

* Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)