Kita mahir tetapi tidak bijak

A
A
A

DARI masa ke masa saya akan menggunakan laman Wikipedia untuk mendapat maklumat mengenai seseorang. Ia melibatkan personaliti seperti pemimpin politik, ahli akademik, selebriti, ahli sukan, tokoh agama dan sejarawan.

Lama kelamaan saya terperasan suatu perbezaan yang ketara di antara personaliti dari zaman dahulu dan personaliti pada zaman sekarang.

Saya dapati tokoh-tokoh dari zaman dahulu, contohnya ahli falsafah Greek, Aristotle mempunyai banyak lagi kemahiran yang membuatnya terkenal.

Selain menjadi seorang ahli falsafah, Aristotle juga mempunyai kemahiran dalam bidang fizik, biologi, zoologi, metafizik, puisi, muzik, psikologi, ekonomi, politik dan banyak lagi.

Begitu juga pereka Leonardo da Vinci yang bukan sahaja pandai mencipta. Beliau juga seorang pelukis, saintis, pemuzik, pakar matematik, sastera, anatomi dan astrologi.

Bapa perubatan moden iaitu Ibnu Sina bukan sahaja tahu ilmu perubatan, malah beliau juga ahli astronomi, geografi, psikologi, teologi, matematik, fizik dan puisi.

Bapa sejarah dan kebudayaan moden, Ibn Khaldun pula seorang pakar sejarah, politik, ekonomi, perdagangan, sosiologi, astronomi, numerologi, kimia dan sumber manusia.

Kehebatan ilmu mereka pada zaman dahulu begitu pelbagai.

Artikel Berkaitan:

Apabila saya menelusuri ke laman-laman personaliti pada zaman sekarang, ia sarat dengan sejarah dan kepakaran seseorang itu tidak melebihi daripada lima bidang.

Presiden Amerika, Donald Trump berkelulusan ekonomi yang kemudiannya menjadi seorang ahli perniagaan dan personaliti televisyen sebelum menceburi bidang politik.

Seniman Hollywood, Tom Hanks pula seorang pelakon, penulis, pengarah dan penerbit. Selebriti Oprah Winfrey seorang eksekutif media, pelakon, penyampai dan penerbit.

Cristiano Ronaldo pula seorang pemain bola sepak dan tiada kemahiran ilmu selain daripada itu.

Tiada yang salah dan betulnya sama ada seseorang itu menjadi seorang generalist mahupun specialist cuma jika kita renungi, kita akan bertanya mengapa orang dahulu mempunyai pelbagai kemahiran tetapi orang sekarang mempunyai kemahiran yang terbatas.

Tidak boleh tidak, kita akan dapati pengkhususan kita dalam sesuatu bidang itu kerana sistem.

Tenaga

Revolusi industri menuntut pengeluaran massa melalui pengilangan. Ia memerlukan banyak tenaga dan salah satu caranya dengan memberi pengkhususan.

Hampir semua negara di dunia yang menerima tempias revolusi industri berlumba-lumba untuk maju dengan menghimpun seramai mungkin rakyatnya untuk menjadi mesin kepada ekonomi negara.

Pengkhususan diperlukan dan ilmu kejuruteraan serta teknikal diberi tumpuan.

Sebaliknya ilmu yang lebih umum seperti kemanusiaan, seni dan sastera diketepikan kerana ia tidak produktif untuk menjana kekayaan negara.

Malaysia sendiri telah melaluinya. Anak diterap dengan ilmu sains dan teknologi. Mereka dipisahkan ke aliran sains dan sastera.

Yang sains mendapat peluang lebih dalam sebuah negara membangun. Mereka yang meminati sastera dipandang sebelah mata kerana tidak memberi sumbangan material yang semerta untuk ekonomi negara.

Sekolah, kolej dan universiti akhirnya menjadi kilang mengeluarkan manusia. Mereka segera diserap ke dalam industri.

Tidak mengapalah seandainya mereka hanya mengetahui sama ada bidang sains atau sastera asalkan matlamat berkhidmat untuk negara itu dapat diutamakan.

Malangnya inilah yang melahirkan sekumpulan manusia otak kanan yang mempunyai kebolehan kreatif dan sekumpulan lagi manusia berotak kiri yang mempunyai kemahiran dalam hal logik, sistem dan sekuen sedangkan semua manusia itu lahir dengan otak kiri dan kanan.

Walau apa pun, akhirnya ketidakseimbangan dunia dalam mengejar teknologi dan industri telah melahirkan manusia yang robotik. Mereka hilang rasa kemanusiaan.

Mereka mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan. Apa yang majoriti ikut, itulah yang betul.

Kini kita semua berada di dalam kolam yang sama. Jika kita ingin berubah dan menambah ilmu keduniaan untuk akhirat, kita kena mulakan sendiri. Sebahagian besar daripada kita sudah ada kemahiran tumpul yang perlu diasah hingga tajam.

Hanya dengan meningkatkan penumpuan kepada kemahiran yang telah lama kita tinggalkan, barulah kita menjadi manusia yang bijak dan unik.

Kita ialah individu yang punyai jiwa dan rasa. Bukannya salah sebuah buih yang banyak yang akan meletup dah hilang dalam sekelip mata!

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian