‘Rupanya ramai tak tahu gajah boleh berenang’

Mohd Suwardi menunjukkan antara gajah yang pernah terserempak dengannya ketika mengikuti aktiviti memancing di Tasik Kenyir.
Mohd Suwardi menunjukkan antara gajah yang pernah terserempak dengannya ketika mengikuti aktiviti memancing di Tasik Kenyir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemilik akaun Facebook Suwardi Azmi tidak menyangka video memaparkan aksi gajah dewasa berenang berhampiran Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang dimuat naik pada 21 September lalu menjadi tular.

Mohd Suwardi Muhamad Azmi, 27, berkata, video haiwan yang dianggarkan lebih besar daripada saiz kereta Perodua Kancil itu dirakam ketika menyertai aktiviti memancing selama dua hari berhampiran gua itu, baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas diterima, ramai yang memberitahu itu kali pertama melihat aksi gajah berenang malah ada juga mengakui baru tahu mamalia itu mampu berenang walaupun memiliki saiz badan yang besar.

“Sejak aktif memancing pada 2004, ini kali keempat saya terserempak gajah berenang. Kebetulan waktu tu rakan saya, Mohd Sukrillah yang merupakan pemandu ‘boathouse’ yang kami naik sempat merakam aksi haiwan berkenaan.

“Sebelum ni, ada yang tidak percaya bila saya cerita pernah terserempak gajah berenang. Jadi, saya ambil keputusan muat naik video yang dirakam itu di media sosial.

“Tak sangka pula ia menjadi tular dan menarik perhatian ramai sebab pada mulanya niat saya hanya mahu berkongsi dengan rakan-rakan sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir berjaya dirakam Mohd Suwardi Muhamad Azmi.
Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir berjaya dirakam Mohd Suwardi Muhamad Azmi.

Video berdurasi tiga minit 45 saat yang dimuat naik tiga hari lalu sehingga kini menerima 838 reaksi, 1,000 perkongsian dan 60,000 tontonan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya perasaannya ketika terserempak dengan gajah itu, katanya dia teruja dan gembira kerana berpeluang melihat kebolehan haiwan itu.

Katanya, selain gajah ramai kaki pancing pernah terserempak dengan haiwan lain yang juga pandai berenang seperti harimau, babi, beruk, kera, kambing hutan, kancil, kijang dan rusa.

"Mungkin waktu terserempak tu ada yang sempat rakam ada yang tak sempat sebab kita tak boleh jangka bila.

“Memang seronok dapat lihat sendiri, tapi saya tak berani duduk dekat. Saya hanya rakam gambar kalau berpeluang dan pada jarak yang selamat,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu ketika dihubungi berkata, kebanyakan gajah secara semula jadi pandai berenang.

“Kebanyakan gajah memang pandai berenang dan kebiasaannya gajah akan melalui laluan sama sepanjang hayatnya.

“Memandangkan kawasan Tasik Kenyir ialah tasik buatan dan merupakan kawasan hutan rimba sebelum ini, mungkin laluan yang dilalui itu adalah laluan yang biasa dilalui sebelum ini.

“Jadi tidak hairanlah sekiranya gajah ini akan berenang dari satu pulau ke pulau yang lain di tasik itu yang juga merupakan habitat mereka,” katanya.

Rakaman gajah yang tular di media sosial sejak dimuat naik Sabtu lalu.
Rakaman gajah yang tular di media sosial sejak dimuat naik Sabtu lalu.



ARTIKEL BERKAITAN Aksi gajah berenang di Tasik Kenyir jadi perhatian