Warga Myanmar ubah suai motosikal jual barang lusuh

Antara motosikal roda tiga yang disita dalam Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana Subang Jaya hari ini.
A
A

PUCHONG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang sanggup membeli motosikal untuk menjalankan perniagaan barang lusuh.

Difahamkan motosikal itu dibeli dengan harga lingkungan RM5,000 hingga RM6,000 daripada pemilik warga tempatan sebelum diubah suai menjadi motosikal roda tiga.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, perkara itu dibongkar susulan lima siri Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) dilaksanakan bermula 12 September lalu hingga hari ini di sekitar Balakong, Shah Alam, Meru, Subang Jaya dan Puchong, Selangor.

Menurutnya, antara kenderaan yang dikesan digunakan warga asing adalah motosikal roda tiga, bas kilang, lori sampah, teksi haram dan kenderaan persendirian.

"Pelbagai kesalahan kita kesan antaranya tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), LKM tamat tempoh, kesalahan teknikal seperti pengubahsuaian, kesalahan nombor pendaftaran dan lain-lain.

"Sepanjang operasi ini, seramai 181 warga asing berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan membabitkan Myanmar (96), India (25), Pakistan (20), Indonesia (17), Bangladesh (15), Kemboja (3), Nepal (3) dan Arab Saudi (2)," katanya kepada pemberita selepas Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana di sini hari ini.

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana, Subang Jaya hari ini.
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana, Subang Jaya hari ini.

Ops Pewa dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak majlis perbandaran.

Nazli berkata, sepanjang lima siri operasi itu, sebanyak 290 kenderaan dikenakan tindakan iaitu motosikal (92), motosikal roda tiga (79), teksi (29), bas kilang (24), kereta (16), lori sampah (44) dan lori bersaiz di bawah 5 tan (6).

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 772 notis Ops Pewa.

"Pelaksanaan operasi ini bertujuan untuk memberi fokus kepada kenderaan yang sering digunakan warga asing terutama kenderaan perdagangan. Mereka ini dikesan memandu tanpa lesen dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.

Tegasnya, tindakan serius boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan termasuk memanggil dan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana, Subang Jaya hari ini, selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa di Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Puchong Perdana, Subang Jaya hari ini, selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.