Hutan di Indonesia terbakar: 10 juta kanak-kanak berisiko

Kualiti udara sangat buruk yang memberi risiko kepada golongan kanak-kanak merupakan cabaran paling besar perlu dihadapi Indonesia. - Foto: AFP
Kualiti udara sangat buruk yang memberi risiko kepada golongan kanak-kanak merupakan cabaran paling besar perlu dihadapi Indonesia. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia meletakkan hampir 10 juta kanak-kanak berisiko akibat pencemaran udara.

Amaran itu dikeluarkan PBB hari ini selepas kajian saintis mendapati kebakaran itu membebaskan sejumlah besar gas rumah hijau.

Kebakaran besar itu telah menyebabkan jerebu toksik turut menyelubungi beberapa negara Asia Tenggara sejak beberapa minggu lalu hingga memaksa penutupan sekolah dan lapangan tebang selain meragut dua nyawa di Indonesia.

Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) memaklumkan hampir 10 juta individu di bawah usia 18 tahun dan kira-kira satu perempat berumur di bawah lima tahun tinggal di kawasan terjejas teruk akibat kebakaran di Pulau Sumatera dan Pulau Borneo.

“Golongan itu lebih terdedah kerana sistem imun yang belum berkembang manakala bayi yang dilahirkan ibu terdedah kepada pencemaran ketika hamil juga berisiko alami kekurangan berat badan atau kelahiran lebih awal. Kualiti udara yang sangat teruk adalah satu cabaran besar bagi Indonesia.

“Setiap tahun, jutaan kanak-kanak menghirup udara toksik yang mengancam kesihatan mereka yang mengakibatkan kerosakan fizikal dan kognitif sepanjang hayat,” jelas jurucakap agensi antarabangsa itu, Debora Comini.

Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus yang merupakan sebahagian program pemerhati bumi yang dilakukan Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan kebakaran hutan di Indonesia pada tahun ini membebaskan sejumlah besar karbon dioksida ke permukaan udara sama seperti pada 2015 yang disifatkan paling terburuk dalam tempoh dua dekad.

Dari awal Ogos hingga 18 September depan, kebakaran itu membebaskan kira-kira 360 megaton gas rumah hijau berbanding 400 megaton ketika tempoh sama empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, beberapa siri kebakaran besar hutan turut melanda beberapa kawasan di seluruh dunia dari Amazon hingga ke Australia dan keadaan itu menyebabkan saintis semakin bimbang dengan impak pemanasan global. - AFP