Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan masuk hospital akibat jerebu

M RAVI
M RAVI
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, M Ravi kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban selepas mengalami sesak nafas tiga hari lalu akibat masalah jerebu.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

Aminuddin berkata, keadaan Ravi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung dalam keadaan stabil walaupun beliau ditempatkan di Unit Rawatan Koronori (CCU).

"Saya telah melawatnya pada pagi Ahad selepas beliau menghadapi sesak nafas sebab jerebu.

"Beliau boleh bercakap dan berborak seperti biasa," katanya ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort petang tadi.

Aminuddin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan berkata, Ravi akan memulakan tugasnya semula sebaik kesihatannya kembali pulih.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Ravi memenangi kerusi Sri Tanjung selepas mengalahkan calon Barisan Nasional, R Thinalan dan calon Pas, Kamarol Ridzuan Mohd Zain.

Dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dengan menumpukan lokasi yang pernah berlaku banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah minta semua jabatan sentiasa bersiap sedia kalau berlaku apa-apa kejadian terutamanya dalam mengelakkan kejadian banjir kilat berulang di beberapa lokasi sepertimana musim tengkujuh tahun lalu.

"Rutin membersihkan longkang di kawasan banjir kilat telah dilakukan antaranya Jalan Tok Dagang, Seremban; Stesen Keretapi Batang Benar, Nilai dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) menghala Sikamat," katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembiranya apabila semangat patriotik dan kerjasama semua meraikan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

"Laporan media menyatakan hampir 15,000 hadir pada 31 Ogos di Dataran Majlis Perbandaran Seremban tempoh hari.

"Ini menunjukkan masyarakat di Negeri Sembilan sedar bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara tercinta ini.

"Namun yang terpenting ialah kita berusaha mengadakan perarakan kontinjen terbaik dan acara lain berkaitan yang dapat menarik minat rakyat, seterusnya dapat mengeratkan lagi perpaduan serta keharmonian rakyat," katanya.