Kerajaan masih berunding dengan China isu MPP, TSGP: Guan Eng

Lim Guan Eng -Foto Bernama
Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih berunding dengan China untuk menyelesaikan isu berkaitan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP).

Pihak kontraktor telah dibayar RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM9.3 bilion walaupun kemajuan projek yang disiapkan hanya 13 peratus sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkat,a pihak pakar dari kedua-dua negara masih merundingkan perkara itu dan sebarang hasil perbincangan tidak boleh diumumkan pada masa ini kerana ia melibatkan sensitiviti nasional.

“(Pembayaran) RM8.3 bilion bukan hanya dalam bentuk tunai langsung malah (dalam bentuk pinjaman) dijamin (oleh kerajaan terdahulu menerusi pinjaman bertempoh 20 tahun) dari Export-Import Bank of China. Keseluruhan kontrak itu di luar kawalan sepenuhnya.

“Di manakah di dalam dunia ini anda memperoleh kontrak dan dibayar berasaskan kemajuan tempoh? Sehingga kini, apabila saya bertanyakan kepada Najib (bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) atau UMNO, mereka tidak menjelaskan (mengenai kewajaran kaedah pembayaran berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perisikan Pasaran Pelancongan Kesihatan (insigHT) 2019 di sini hari ini.

Mengenai cadangan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram bahawa masih tidak terlalu lambat untuk kerajaan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Guan Eng berkata isu itu perlu diteliti dalam lingkungan skop lebih luas.

“Saya tidak sepenuhnya tidak bersetuju dengan Jomo apabila beliau mengatakan projek itu terkait dengan skandal 1MDB, namun pada masa sama, keseluruhan projek itu telah dirundingkan semula dengan kerajaan China dan mereka telah bersetuju mengurangkan dan merundingkan semula harga kontrak.

“Saya berpandangan, ini adalah penyelesaian menang-menang yang kita capai. Kita juga perlu memahami bahawa ECRL ini melibatkan hubungan negara dengan China yang menjadi rakan dagang terbesar kita. Banyak pertimbangan negara yang dipertaruhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun cadangan Jomo adalah munasabah, Guan Eng berkata, kerajaan masih perlu mengambil kira pertimbangan strategik negara, memandangkan kos projek ECRL telah dikurangkan sebanyak RM21 bilion berbanding kos awal di samping mengekalkan hubungan baik dengan China.

Jomo sebelum ini berkata, masih tidak terlalu lambat untuk membatalkan projek ECRL susulan kenyataan saksi penting dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bahawa projek itu diwujudkan untuk menyelamatkan 1MDB.

Mengenai cadangan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) supaya kerajaan menilai semula kategori pendapatan dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu T30, M50 dan B20 bertujuan mengurangkan ketaksamaan pendapatan dan membasmi kemiskinan secara berkesan, Lim berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

“Kita akan memberikan pertimbangan tetapi saya rasa, kita harus memperincikan terlebih dahulu. Kalau kita mahu sebut (mengenai cadangan ini) semasa pembentangan Belanjawan 2020, mungkin masa sudah terlalu suntuk (untuk dibincangkan).

“(Cadangan ini) mungkin (dibincangkan dan dimasukkan) pada Rancangan Malaysia Ke-12 dan sebagainya, yang mana pada saya, bagi tempoh yang lebih sesuai (sebelum apa-apa keputusan dibuat),” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diuruskan secara terperinci dan menerusi pendekatan holistik agar kerajaan tidak mengabaikan mana-mana golongan. - Bernama