Angkara pemandu mabuk

Pemanduan bahaya itu dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular di media sosial.
Pemanduan bahaya itu dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular di media sosial.
A
A
A

SEPANG - Pemandu kenderaan yang dirakam memandu dalam keadaan melulu serta membahayakan di Kilometer 24 Lebuhraya MEX berhampiran Plaza Tol Putrajaya di sini pagi semalam dipercayai dalam keadaan mabuk.

Aksi pemanduan pemandu terbabit dirakam seorang pengguna jalan raya dan tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi video berdurasi 2.16 minit itu, pemandu kereta terbabit dirakam memandu secara ‘zig zag’ dan menyelit di antara kenderaan di lorong kanan dan kiri lebuh raya.

Pemandu terbabit juga dirakam sesuka hati menukar lorong tanpa memberi isyarat tukar laluan.

Kereta itu akhirnya terbabit kemalangan selepas hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke bahu jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, pemandu kenderaan jenis Honda City itu dikenal pasti sebagai penuntut sebuah universiti swasta warga Yaman berusia 22 tahun.

“Polis menerima laporan mengenai sebuah kenderaan terlibat kemalangan di Lebuhraya MEX pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

“Semasa kejadian, terdapat dua wanita warga tempatan di dalam kereta itu dan kesemua mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Putrajaya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

Menurutnya, pemandu dan kedua-dua penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan, pemandu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. Bagaimanapun, ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) ke atas pemandu mengesahkan kandungan alkohol dalam badannya masih di bawah tahap yang dibenarkan.

“Ujian saringan air kencing pemandu didapati negatif,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, terdapat dua saksi kejadian tampil menyerahkan video yang dirakam dan turut membuat laporan polis.

Katanya, kenderaan terlibat ditahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu dibawa ke hospital untuk diambil sampel darah dan ujian selanjutnya,” katanya.