KRI Bima Suci 945 berlabuh di Pelabuhan Klang

KRI Bima Suci 945 berlabuh di Dermaga Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah Pelabuhan Klang. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
KRI Bima Suci 945 berlabuh di Dermaga Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah Pelabuhan Klang. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A
PELABUHAN KLANG - Kapal Perang Republik Indonesia (KRI), Bima Suci 945 yang merupakan kapal tiang tinggi terbaru negara itu tiba di sini kira-kira jam 9 pagi tadi dalam misi pelayaran diplomasinya.

Kapal berkenaan akan berlabuh selama tiga hari dan dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung untuk menyaksikannya lebih dekat.

Ketibaan kapal itu disambut delegasi ketenteraan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diketuai Penolong Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Anuar Mohamed dengan sesi penyerahan cenderamata disampaikan kepada Komandan KRI Bima Suci-945, Leftenan Kolonel Waluyo yang mengetuai delegasi Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL).

Waluyo dalam ucapannya berkata, KRI Bima Suci 945 bukan sahaja merupakan misi diplomasi dan misi maritim fulkrum, malah merupakan satu misi kebudayaan bagi memperkenal budaya negara itu kepada masyarakat tempatan di negara dikunjunginya.

Menurutnya, misi itu turut disertai Unit Latihan Kartika Jala Krida yang terdiri daripada 83 kru Akademi Angkatan Laut Indonesia.

Penolong Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Anuar Mohamed menyambut Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut yang tiba bersama KRI Bima Suci 945 di Pelabuhan Klang pagi tadi.
- Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Penolong Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Anuar Mohamed menyambut Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut yang tiba bersama KRI Bima Suci 945 di Pelabuhan Klang pagi tadi. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KRI Bima Suci 945 dibuka kepada orang ramai sepanjang persinggahannya selama tiga hari di Malaysia dan waktu lawatan bermula jam 10 pagi sehingga jam 5 petang.

Sementara itu, sekitar jam 12.30 tengah hari tadi, kelihatan puluhan pelajar Sekolah Indonesia-Kuala Lumpur memenuhi dek kapal bagi meninjau keunikan reka bentuk kapal perang Indonesia itu bersama guru pengiring mereka.

Setakat ini, kapal berkenaan sudah singgah di Manila (Filipina), Osaka (Jepun), Busan (Korea Selatan), Shanghai (China) dan Brunei.

Artikel Berkaitan:

Selepas Malaysia, ia dijadualkan belayar ke Phuket (Thailand), Yangoon (Myanmar), Padang Benoa dan destinasi akhir ialah Darwin (Australia) sebelum pulang semula ke Surabaya.

KRI Bima Suci 945 tiba di Dermaga Pusat Hidrografi Nasional Malaysia Pulau Indah di sini pagi semalam dan satu persembahan pancaragam oleh kru kapal akan berlangsung di Waterfront, KLCC pada sebelah malam.

Semasa berada di Malaysia, Unit Kartika Jala Krida juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Pusat Hidrologi Nasional, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional serta Duta Besar Indonesia ke Malaysia.

Ia dijangka menyambung pelayaran pada pagi Khamis.