Tedung hitam 'selongkar' dapur

Ular tedung ditemui di kawasan rak pinggan mangkuk sebelum reptilia itu kemudiannya menyusur ke belakang dapur gas bahagian dapur rumah berkenaan.
Ular tedung ditemui di kawasan rak pinggan mangkuk sebelum reptilia itu kemudiannya menyusur ke belakang dapur gas bahagian dapur rumah berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor tidak menyangka bunyi bising dari rak pinggan mangkuk dapur rumahnya membawa penemuan seekor ular tedung hitam dalam kejadian di Taman Malawati Jaya di sini tengah malam tadi.

Kejadian jam 12.40 tengah malam itu berlaku ketika Shaari Nuning, 40, yang baharu pulang ke ke rumah dari tempat kerjanya terdengar sesuatu sewaktu ingin ke bilik air.

Menurutnya, dia menghampiri rak terbabit dan terkejut sebaik melihat kelibat ular sepanjang setengah meter dengan berat 200 gram.

"Mulanya saya menyangka bunyi tikus tapi bila berhampiran rak, saya terkejut nampak kepala ular tedung sudah menegak," katanya.

Shaari berkata, ketika kejadian, tiga anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala isteri berada di bilik tingkat atas rumah.

"Saya meminta anak menghubungi APM memaklumkan kejadian ini sementara saya terus mengawasi pergerakan reptilia berkenaan," katanya.

Menurut Shaari, ular terbabit dilihat keluar dari rak dan kemudiannya menyusur ke belakang dapur gas.

"Saya mengesyaki ular ini masuk melalui pintu belakang rumah yang dalam keadaan renggang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1 pagi.

Menurutnya, seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira enam minit menangkap reptilia tersebut.

"APM menggunakan penyepit dan penjerut bagi menangkap ular berkenaan," katanya.