Keluaran minyak Arab Saudi pulih lebih 75 peratus

Britain, Perancis dan Jerman menyertai AS menyalahkan Iran bertanggungjawab ke atas serangan di kemudahan minyak milik Aramco. - Foto Agensi
Britain, Perancis dan Jerman menyertai AS menyalahkan Iran bertanggungjawab ke atas serangan di kemudahan minyak milik Aramco. - Foto Agensi
A
A
A

JEDDAH - Arab Saudi telah memulihkan lebih 75 peratus keluaran minyak selepas serangan ke atas dua loji pemprosesan minyak di negara itu yang menjejaskan separuh pengeluaran global pada 14 September lalu.

Sumber industri itu memaklumkan kemudahan di Khurais kini mengeluarkan lebih 1.3 juta tong minyak sehari manakala kira-kira tiga juta tong minyak dikeluarkan di Abqaiq.

"Keluaran minyak itu dijangka kembali kepada kapasiti penuh pada minggu depan," ujarnya.

Semalam, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman berkata, negara itu mampu menangani impak serangan yang disifatkan sebagai 'perbuatan sabotaj penakut' yang menyasarkan Riyadh dan kestabilan bekalan tenaga global.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas mesyuarat di Jeddah bersama pemerintah Bahrain, Raja Hamad yang turut mengecam peningkatan konflik serius yang menyasarkan keselamatan dan kestabilan di rantau terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Britain, Perancis dan Jerman yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York menyertai Amerika Syarikat (AS) menuding jari menyalahkan Iran mendalangi serangan dron dan peluru berpandu ke atas kemudahan minyak Saudi tersebut.

Pemimpin negara terbabit juga mengesahkan sokongan mereka terhadap perjanjian nuklear Iran digelar Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada 2015, namun mencetuskan krisis apabila AS menarik diri pada tahun lalu.

Tanpa mengemukakan bukti dan alasan munasabah, mereka mendakwa Iran bertanggungjawab atas serangan itu dan meminta Teheran menghentikan sebarang bentuk pelanggaran yang boleh meningkatkan ketegangan di Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Javad Zarif sekali lagi menafikan penglibatan mereka dalam serangan tersebut.

"Jika kami mendalangi serangan itu, seluruh kemudahan minyak itu akan musnah. Ia adalah satu tindakan bodoh jika Iran terlibat dalam perkara seperti itu," sindirnya.

Beliau juga melihat ia sebagai serangan dengan ketepatan tinggi dan impak rendah tanpa kematian.

"Kenapa mereka menyasarkan lokasi impak rendah? Jika kami dalang insiden itu, ia pasti musnah sepenuhnya," katanya merujuk kepada Iran jika negara itu benar-benar mendalangi serangan itu. - Agensi