Hentikan isu rumah di Paya Jaras, segerakan projek

A
A
A

SUNGAI BULOH - Di sebalik isu perobohan rumah di Paya Jaras masih hangat diperkatakan, sebahagian penduduk amat berharap projek pelebaran Sungai Kedondong di situ dapat disegerakan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku.

Pnduduk juga berharap isu perobohan rumah tidak dipolitikkan lagi kerana melambatkan usaha menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu penduduk sekitar.

Penduduk, Abdul Ramli, 45, yang tinggal di Kampung Paya Jaras Dalam berkata, projek pelebaran sungai itu amat penting kerana masyarakat setempat sudah buntu memikirkan masalah banjir yang berlaku saban tahun.

Menurutnya, banjir terbesar berlaku di kawasan itu adalah kira-kira lima tahun lalu apabila separuh rumahnya ditenggelami air.

“Kalau berlaku banjir di kawasan ini, memang teruk. Kami perlu menanggung kos yang tinggi kerana barangan termasuk perabot rosak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Seorang lagi penduduk, Amran Ahmad, 68, yang menetap di Kampung Paya Jaras Hilir di sini berkata, rumahnya biasa akan dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

“Saya minta sangat projek pelebaran sungai itu diterima masyarakat setempat untuk kebaikan penduduk juga.

“Isu yang timbul perlulah diselesaikan segera dan hentikanlah bermain politik. Kami sudah tidak tahan dengan keadaan banjir di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia secara peribadi tiada masalah sekiranya kerajaan negeri mahu mengambil sedikit kawasan tapak rumah mereka untuk projek pelebaran sungai demi kebaikan semua.

Bagi Nordin Ismail, 60, pula, projek pelebaran sungai itu wajar dipercepatkan supaya penduduk dapat tinggal di kawasan itu dengan lebih selesa.

“Saya dah tidak sanggup tanggung rugi apabila barangan perniagaan saya termasuk peti ais dan perabot musnah akibat banjir. Jadi saya minta isu yang berlaku dapat diselesaikan segera,” katanya.

Rabu lalu, operasi perobohan rumah dilaksanakan ke atas premis dan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perobohan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat bantahan penduduk terlibat yang mendakwa kerajaan negeri memberikan notis yang singkat.

Sebelum perobohan itu dilaksanakan, mereka turut memohon untuk menetap di tapak berkenaan sehingga akhir tahun ini.