X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah cinta Zakaria Periuk Kera

Tekun menyiapkan dan fokus ketika jari jemarinya lincah di atas kanvas demi menghasilkan karya terbaik.
A
A

MARAN - Keistimewaan dimiliki periuk kera menyebabkan seorang pesara guru ini memilih motif tumbuhan itu dalam menghasilkan lukisan.

Terkenal dengan gelaran Zakaria Periuk Kera, pemilik Galeri M Warna atau nama sebenarnya Zakaria Adam, 68, dari Kampung Sentosa, Maran di sini menyifatkan periuk kera atau nama saintifiknya nepenthes memiliki falsafah yang tersendiri.

"Selalu orang katakan tumbuhan ini pemangsa, tetapi ia hanya bertindak sebegitu apabila diganggu.

"Selain itu ia tidak bersikap hipokrit, tidak pernah berpura-pura mahupun menyamar seperti sesumpah dan sentiasa menjadi diri sendiri.

"Sebab itu saya tertarik dan menjadikan pilihan utama karya sejak mula aktif melukis," kata anak jati Maran itu lagi.

Zakaria memilih periuk kera sebagai medium utama karyanya.
Zakaria memilih periuk kera sebagai medium utama karyanya.

Memilih cat minyak dan akrilik sebagai medium untuk berkarya, ratusan lukisan periuk kera sudah dihasilkan bekas guru subjek Pendidikan Seni tersebut sejak mula berkecimpung dalam dunia tersebut lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman dibesarkan di kampung dan dikelilingi tumbuhan itu juga menjadi faktor utama dia memilih tumbuhan itu untuk berkarya.

"Selepas bersara sejak beberapa tahun lalu, saya menumpukan perhatian melukis, menyertai pameran selain berada di galeri ini.

"Di galeri ini, banyak hasil karya saya tempatkan dan ia dibuka kepada orang ramai yang ingin melihat dan menikmati karya seni lukisan serta kraftangan dihasilkan di sini," katanya.

Antara lukisan periuk kera yang mendapat sentuhan Zakaria.
Antara lukisan periuk kera yang mendapat sentuhan Zakaria.

Katanya, galeri yang dirasmikan pada tahun 2015 itu dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula jam 10 pagi sehingga jam 6 petang.

"Setakat ini karya saya mendapat tempat di hati pelanggan tempatan dan luar negara selain pelbagai peringkat latar belakang termasuk golongan kenamaan.

Zakaria bersama hasil karyanya yang ditempatkan di galeri miliknya.
Zakaria bersama hasil karyanya yang ditempatkan di galeri miliknya.

"Hasil karya saya dijual ribuan ringgit sehingga RM10,000 bergantung pada saiz lukisan," jelasnya juga aktif menyertai pameran dalam dan luar negara.

Mengulas isu berikutan tumbuhan itu menjadi tumpuan pengusaha lemang yang menggunakan periuk kera, Zakaria berharap langkah dapat diambil bagi pemuliharaan berterusan dapat dilaksanakan bagi melindungi serta survival tumbuhan tersebut.

Antara beberapa karya lukisan periuk kera yang mewarnai suasana di galeri milik Zakaria.
Antara beberapa karya lukisan periuk kera yang mewarnai suasana di galeri milik Zakaria.

"Kalau orkid boleh ditanam semula, kenapa periuk kera tidak boleh dipandang serius namun saya akui penanamannya sedikit rumit hasil pengalaman saya sebelum ini yang pernah menanam tumbuhan ini.

"Tumbuhan ini ada banyak jenis. Boleh ambil, tetapi pengambilannya perlu dikawal. Saya cadangkan seperti mengenakan lesen kepada mereka yang ingin mengambil periuk kera," katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berhasrat lebih ramai golongan muda menceburkan diri dalam bidang seni itu, malah dia sudi menawarkan pengalaman dan kemahiran dimiliki untuk dicurahkan secara percuma dengan sokongan beberapa pihak berkaitan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus