Rumah Ngaji ke-30 di Negeri Sembilan

A
A
A

SEREMBAN – Rumah Ngaji di Negeri Sembilan melebarkan sayapnya apabila menubuhkan sebuah lagi Rumah Ngaji@Haji Mahmood yang ke-30 di Vision Home Seremban 2.

Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, pihaknya berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada isteri Allahyarham Mahmood iaitu Zuraidah Azhar serta keluarga yang menginfakkan sebahagian besar rumah mereka untuk kegunaan pengajian al-Quran.

Menurutnya, usaha sebegini harus dipuji kerana kemuliaan hati mereka yang membantu masyarakat setempat khususnya kanak-kanak serta Muslimah mengaji di ruang yang disediakan.

"Diharap lebih ramai lagi individu atau komuniti setempat menubuhkan Rumah Ngaji di negeri ini termasuklah agensi serta jabatan-jabatan kerajaan.

"Kita juga berharap lebih banyak ruang serta peluang untuk ummah kembali memperkasakan Kalamullah dengan konsep baca, faham dan amal,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Gharizah berkata, bagi tahun 2020 Rumah Ngaji Negeri Sembilan menyasarkan dapat menambah dua kali ganda Rumah Ngaji meliputi seluruh daerah dalam negeri ini.

Sementara itu, pemilik Rumah Ngaji@Haji Mahmood, Zuraidah berkata, usaha yang dilakukan ini adalah untuk bersama-sama mendapatkan kenikmatan dalam menghayati pembelajaran al-Quran.

“Saya terpanggil untuk bersama-sama usaha Rumah Ngaji dalam menerapkan al-Quran sebagai landasan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

“Usaha kecil ini adalah ibarat usaha burung pipit yang membantu memadamkan api kebakaran pada Nabi Ibrahim, Insya-ALLAH hasilnya kami serahkan kepada ALLAH,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai kelas mengaji di Rumah Ngaji@Haji Mahmood Vision Homes boleh hubungi di talian 017 8563032 untuk keterangan lanjut.