Cari kutu pun kami buat!

Kesemua murid orang asli SK Balar dijangkiti kutu kepala.
Kesemua murid orang asli SK Balar dijangkiti kutu kepala.
A
A
A

GUA MUSANG - Kita sering dihebahkan dengan cabaran kembara guru-guru rimba di kawasan pedalaman orang asli yang perlu melalui jalan-jalan balak berpuluh kilometer untuk mendidik anak bangsa.

Namun ramai tidak tahu, selain bergelumang dengan selut lumpur, mereka turut melaksanakan tugas-tugas lain yang mungkin tidak dirasai guru-guru di kawasan bandar.

Selain memastikan proses pembelajaran berlangsung dengan lancar, mereka juga berkhidmat untuk tugas khas seperti memandikan murid, membersihkan kelas selepas murid terbuang air kecil dan besar dalam kelas serta membasmi kutu di kepala.

Kamal membersihkan kepala muridnya.
Kamal membersihkan kepala muridnya.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Mohd Faizul Nazwan Foizi, 37, berkata, situasi itu sudah hampir dua tahun dilaluinya sejak berkhidmat di sekolah pedalaman itu.

Katanya, mungkin situasi itu tidak pernah dilalui oleh rakan-rakan guru di bandar, namun itulah salah satu cara dia menyelami kehidupan masyarakat orang asli dengan lebih dekat.

"Kebanyakan anak-anak orang asli tidak mudah mesra, kita perlu memujuk dan mendekati dengan pelbagai cara. Bila mereka kenal kita, barulah mereka lebih mesra.

"Saya pernah mencuci najis murid yang terbuang air besar di dalam kelas termasuk memandikannya sekali. Bila ada kejadian seperti ini, satu kelas kena cuci.

Artikel Berkaitan:

"Kebersihan diri murid juga menjadi tugas kita termasuk kebersihan kuku dan pakaian kerana mereka tinggal di asrama. Kutu pun kena cari," katanya.

Kelmarin, SK Balar di bawah anjuran Unit Kaunseling mengadakan Program Kesihatan Membasmi Kutu Kepala untuk semua 290 murid termasuk kelas pemulihan dan pra sekolah.

Bagi guru pemulihan, Kamal Shahriman Md Yusof, pelbagai cabaran dalam menguruskan murid-murid di sekolah pedalaman.

"Di kelas pemulihan, kita mempunyai 31 murid dan kesemuanya dijangkiti kutu kepala. Program ini sangat bagus bagi membasmi jangkitan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Balar, Ab Hadi Sulaiman berkata, inisiatif untuk membasmi kutu dibuat setelah melihat keperluan dalam kalangan murid.

"Kesemua murid dijangkiti kutu kepala dan mereka tiada sebarang rawatan atau ubat untuk membasmi kutu.

Faizul membersihkan kepala muridnya yang dijangkiti kutu.
Faizul membersihkan kepala muridnya yang dijangkiti kutu.

"Ada di antara mereka yang tinggal di asrama akan bergilir-gilir mencari kutu sama sendiri. Jadi, pihak sekolah mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan keselesaan mereka.

"Insya-ALLAH, kita akan terus memastikan kesihatan dan kebersihan murid-murid di tahap yang lebih baik," katanya.