Situasi menang-menang di Kampung Baru

Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandar raya Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandar raya Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

DARI atas Menara Berkembar Petronas (KLCC), jelas kelihatan penempatan Kampung Baru terbentang luas berhampiran kawasan segi tiga emas bandar raya Kuala Lumpur. Kawasan yang menjadi idaman pemaju hartanah sejak dulu lagi.

Kampung Baru dibuka pada 1899 berkeluasan 122 hektar. Dikurniakan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa untuk mewujudkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur.

Tanah Kampung Baru diwartakan pada 12 Januari 1900 dan kemudiannya ditadbir melalui enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) 1950.

Sabtu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut. Kesediaan kerajaan untuk mengadakan sesi perbincangan adalah satu usaha yang wajar dipuji.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, kerajaan menawarkan harga pembelian tanah pada harga lebih RM6 juta setiap plot berkeluasan 8,000 kaki persegi berdasarkan kiraan harga RM850 bagi setiap kaki persegi tanah.

Namun begitu katanya, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran harga lebih tinggi yang akan dibincangkan secara terperinci dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tawaran tersebut adalah kadar maksimum yang dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu.

Pada sesi 'townhall' bersama warga Kampung Baru itu, ramai tampil mengutarakan pelbagai isu berkenaan pembangunan kawasan itu antaranya kadar tawaran rendah, pemuliharaan warisan kampung Melayu dan pengecualian cukai.

Artikel Berkaitan:

Ada juga yang memohon kadar RM850 dinaikkan kepada RM2,000 dengan alasan ada lot yang mempunyai pewaris yang ramai yang bermakna mereka akan menerima pembahagian wang yang kurang.

Pemilik dan pewaris perlu berfikiran jauh mengenai tawaran itu kerana nilai hartanah kawasan berkenaan memberi pulangan lebih lumayan pada masa akan datang.

Justeru kemelut pembangunan Kampung Baru yang melanda sekian lama ini perlu diselesaikan dengan baik dan teratur agar wujud situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.