Kenyataan Najib sama seperti buka kelemahan pentadbiran sendiri

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan kerajaan terdahulu tidak pernah menawarkan harga bagi pembelian tanah Kampung Baru sama seperti membuka kelemahan pentadbiran sendiri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, jika dakwaan tersebut benar, maka ia membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menganggap pembangunan Kampung Baru tidak penting dan gagal menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan itu.

"Saya tertarik dengan kenyataan (Datuk Seri) Najib. Beliau kata dulu ada letakkan sampai enam perunding untuk membuat penilaian harga tanah Kampung Baru tapi kadarnya tidak ditetapkan lagi.

"Mereka (kerajaan BN) letak sampai enam penilai tapi apa nilai (harga tanah) tak tahu, buang masa sajalah macam itu," katanya selepas Program Penyerahan Bantuan Pusat Transit Gelandangan di Titiwangsa Jalan Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Najib di laman sosialnya yang mengatakan kerajaan BN tidak pernah membuat tawaran RM300 bagi satu kaki persegi tanah Kampung Baru.

Najib dalam status Facebook yang ditulis lapan jam lalu itu turut memaklumkan melantik enam perunding untuk membuat kajian tanah Kampung Baru semasa di bawah zaman pentadbirannya.

Susulan itu, Khalid mempersoalkan keperluan melantik enam syarikat perunding, namun gagal memberikan tawaran harga kepada pemilik tanah Kampung Baru

"Najib jadi perdana menteri bukan sembilan minggu tapi sembilan tahun tapi sepanjang tempoh itu kerajaan tidak pernah membuat apa-apa tawaran dan nilainya juga tiada.

Artikel Berkaitan:

"(Sedangkan) saya dalam tempoh setahun dah ada membuat tawaran, Najib sembilan tahun jadi perdana menteri takkan tak boleh buat apa-apa tawaran?

"Takkan dalam tempoh itu syarikat penilai yang dilantik itu tidak boleh meletakkan harga tanah yang akan dijual," soalnya.

Sabtu lalu, pada sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi satu kaki persegi kepada pemilik tanah iaitu harga paling maksimum ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Pengumuman itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemilik tanah yang meminta kadar tersebut dikaji semula oleh kerajaan kerana tawaran itu dianggap rendah dan tidak mengikut harga pasaran

Mengulas lanjut berhubung isu tawaran harga tersebut Khalid berkata, isu itu akan dibawa untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu ini.

"Lusa (Rabu) ada mesyuarat Kabinet, jika ada ruang saya akan jumpa Dr Mahathir untuk terangkan serba sedikit tentang isu ini dan fikirkan cara penyelesaiannya.

"Memang semua nak harga lebih tinggi dari ditawarkan. Jika tawarkan RM1,000 (satu kaki persegi) pun akan ada yang minta lebih dari kadar itu nanti," katanya.

Justeru katanya, cadangan kenaikan itu akan dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira kemampuan dan asasnya bagi memastikan pelaksanaan projek mampu dilaksanakan.

"Apa yang perlu dilakukan adalah mencari harga yang munasabah dengan memungkinkan projek ini menjadi kenyataan. Kita kena ingat akhirnya projek ini akan dijual kepada orang Melayu.

"Disebabkan itu, kita tak boleh jual beli dengan harga mahal. Nak naik berapa peratus pun tak tahu lagi kena bincang dulu. Jika nak naikkan harga kena tengok caranya, tak boleh naikkan harga semata-mata untuk penuhi permintaan," katanya.