'Hentikan isu, segera laksanakan kerja pelebaran sungai'

Abdul menunjukkan paras air yang naik sewaktu banjir pada lima tahun lalu.
Abdul menunjukkan paras air yang naik sewaktu banjir pada lima tahun lalu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Di sebalik isu perobohan rumah di Paya Jaras di sini masih hangat diperkatakan, sebahagian penduduk di situ amat berharap projek pelebaran Sungai Kedondong di situ dapat disegerakan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku.

Penduduk, Abdul Ramli, 45, yang tinggal di Kampung Paya Jaras Dalam berkata, projek pelebaran sungai itu amat diperlukan kerana masyarakat setempat di kawasan berkenaan sudah buntu memikirkan masalah banjir yang berlaku saban tahun.

Menurutnya, banjir terbesar berlaku di kawasan berkenaan adalah kira-kira lima tahun lalu apabila separuh daripada rumahnya dinaiki air sehingga memusnahkan perabot dan barangan elektrik.

"Kalau berlaku banjir di kawasan ini, memang teruk. Kami perlu menanggung kos yang tinggi kerana barangan termasuk perabot rosak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Amran Ahmad, 68, yang menetap di Kampung Paya Jaras Hilir di sini berkata, ruamhnya biasa akan dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

Amran
Amran

"Saya minta sangat projek pelebaran sungai itu diterima oleh masyarakat setempat untuk kebaikan seluruh penduduk di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Isu yang timbul perlulah diselesaikan segera dan hentikanlah bermain politik. Kami sudah tidak tahan dengan keadaan banjir di sini," katanya.

Menurutnya, dia secara peribadi tiada masalah sekiranya kerajaan negeri mahu mengambil sedikit kawasan tapak rumah mereka untuk projek pelebaran sungai berkenaan kerana ia demi kebaikan semua," katanya.

Bagi Nordin Ismail, 60, pula berkata, projek pelebaran sungai itu wajar dipercepatkan bagi memastikan masalah banjir tidak lagi membelenggu penduduk.

Nordin
Nordin

"Saya dah tidak sanggup tanggung kerugian apabila barangan perniagaan saya termasuk peti ais dan perabot musnah akibat banjir. Jadi saya minta isu yang berlaku dapat diselesaikan segera," katanya.

Rabu lepas, operasi perobohan rumah dilaksanakan ke atas premis dan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perobohan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan ini.

Antara kawasan di Paya Jaras Dalam yang sering banjir.
Antara kawasan di Paya Jaras Dalam yang sering banjir.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat bantahan penduduk terlibat yang mendakwa kerajaan negeri memberikan notis yang singkat.

Sebelum perobohan itu dilaksanakan, mereka turut memohon untuk menetap di tapak berkenaan sehingga akhir tahun ini.