Lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tikaman

Pihak polis menjalankan siasatan terhadap mayat mangsa yang ditemukan berlumuran darah akibat ditikam oleh suspek hari ini.
A
A

IPOH - Mayat seorang lelaki ditemukan dengan tiga kesan tikaman di bahagian badan di hadapan sebuah kedai di Jalan Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam tadi, mangsa ditemui berlumuran darah oleh orang awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat awal berlakunya pergaduhan di lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman iaitu dua tikaman di bahagian hadapan dan satu tikaman di bahagian belakang.

“Mangsa dipercayai ditikam dengan objek tajam, namun tiada senjata ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa baru dua hari menyewa di tingkat satu rumah kedai tiga tingkat di sini.

“Dipercayai hanya seorang suspek terlibat dalam kejadian ini dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek dan senjata yang digunakan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.